Sunday, August 21, 2011

Warna Ilahi



Cantiknya bila melihat pelangi, yang warna asalnya adalah dari matahari
Yang merealisasikan tujuh warna-warna yang indah itu , adalah selepas datangnya hujan.

Pelangi, adalah di antara kerja-kerja Ilahi Yang Pencipta yang begitu menakjubkan.

Celupan warna Ilahi pada susuk-susuk Mukmin yang begitu mengagumkan.

Apakah ada celupan yang lebih baik dari celupan Allah?

Sibghah Allah maksudnya celupan Allah...

===============

Saidina Abu Bakar As Siddiq yang bermula dengan satu prinsip yang teguh.
Tampak kecil namun istiqamah hingga ke hujung nyawa.
yang benar, Membenarkan dan Dibenarkan.
Teguh dan yakin andai ia datang dari Allah dan RasulNya.
Maka keyakinan yang kita nampak kecil itu menjadi besar.
"Andaikan iman seluruh manusia ditimbang dacing dan iman Abu Bakar pada dacing yang lain, sungguh, timbangan Abu Bakar lebih berat"

Subhanallah

Saidina Umar Al Khattab. Umar Al Faruq. Yang tidak pernah menyembunyikan perasaannya.
Begitu jujur pada dirinya, jujur pada Allah dan juga jujur pada manusia.
Umar yang keras, tegas dan tidak kenal erti takut.  Kata Umar ,
"Bukankah kita di pihak kebenaran? Bukankah mereka di pihak kebathilan? Bukankah pabila kita mati, kita dijanjikan syurga sedangkan mereka diazab dengan neraka? "

Dengan keberanian dan kejujuran Umar, maka bermulalah dakwah secara terang-terangan, sehingga orang-orang kafir dan orang-orang musyrik yang ketika itu hanya mampu mengigit jari, menggetap bibir dan gemeretaknya gigi masing-masing kerana tidak mampu berhadapan dengan Umar. Umar yang berani
Namun disebalik susuk itu, berdirinya Umar sebagai manusia terlembut, saat memimpin.

Ibnu Mas'ud berkata "Islamnya Umar adalah kemenangan, hijrahnya adalah pertolongan dan kepemimpinannya adalah rahmat bagi orang yang beriman"

Subhanallah

Saidina Utsman yang terkenal dengan gelaran Dzu Nurain.
Si pemalu yang berakhlak mulia.
Malu bukan sekadar kepada manusia, tetapi lebih dari itu di hadapan Allah.
Ia selalu malu dengan Allah, andai masih ada nikmat-nikmat yang didapatinya tidak dinafkahkan di jalanNya. Maka, ribuan unta menyertai perang. Perang Tabuk.
Ia malu jika ia kenyang sedangkan penduduk Madinah sedang berlapar. Maka 1000 unta penuh muatan dihantarkan kepada mereka.
Ia malu jika ia minum air sejuk, sedangkan penduduk Madinah meminum air bacin. Maka dibelinya
sumur Raumah lalu ia wakafkan.

Subhanallah

Saidina Ali yang ceria. Ceria pabila menjalankan tugasnya sebagai pengganti tempat tidur Rasulullah di dalam suasana  'teror' pabila  pemuda-pemuda gagah dari kabilah Quraisy mengepung kediaman Baginda ketika peristiwa Hijrah.
Ceria menemaninya pabila ia berlari-lari menyusur padang pasir sejauh 400 km untuk hijrah seorang diri, walaupun dirinya juga sedang dikejar oleh  musuh.
Ceria mengajarinya berolok-olok dengan jagoan Quraisy , Amir ibn Abdu Wudd ketika pertembungan perang tanding dalam peristiwa Khandaq.
Ceria mengajarinya untuk asyik belajar, maka ia menjadi pintu kota ilmu.
Tetap ceria dalam sakit mata membuatnya menjadi pemegang panji Khaibar yang begitu dicintai Allah dan RasulNya

Subhanallah

Abu Ubaidah ibn Jarah yang jujur.
Malah digelar oleh Nabi Sollallahu alaihi wasallam sebagai pemegang amanah umat Islam.
Seorang yang pandai mengadministrasi, cerdas dan adil.
Sangat dipercaya sampai orang-orang Romawi yang beragama Nasrani merindukannya.
Sangat dipercaya sehinggakan Umar kehabiskan akal untuk memintanya keluar dari kota berwabah
( musibah kerana wabak Taun)
Sangat dipercaya maka begitu sulit untuk mencari penggantinya sebagai pengurus Baitul Mal.

Subhanallah

Az Zubair hawari Rasulullah melambangkan sebuah kesetiaan.
Tidak dilupakan Thalhah yang perwira, yang telah menjadi 'perisai hidup'  Rasulullah yang ada di tubuhnya tujuh puluh sayatan pedang, hunjaman tombak dan tusukan anak panah. Maka jadilah Thalhah bak kata Rasulullah seorang syahid yang masih berjalan di muka bumi

Subhanallah.

Ada juga nama-nama besar dengan gelaran yang besar.

Ada Khalid Al Walid , si Pedang Allah yang sentiasa terhunus
Sering dengan kudanya menyusur barisan musuh bersendirian.
Ia Pedang Allah, maka tiga belas pedang patah di tangannya ketika Perang Mu'tah.
Ia Pedang Allah, yang memang menghafal sedikit ayat tetapi seluruh tubuhnya yang penuh luka bakal menjadi saksi di akhirat di hadapan Allah, meskipun ia mati di atas ranjang.

Ada Hudzaifah, seorang intelligent agent yang terbilang di dalam sejarah.
Maka ketika pada Rasulullah, para sahabat bertanya tentang amal apa yang harus dilakukan, lain pula perihalnya dengan Hudzaifah yang bertanya tentang perlakuan-perlakuan untuk dijauhi.
Hudzaifah juga merupakan seorang manusia yang lisannya takkan bisa dipaksa untuk berbicara meskipun yang bertanya adalah Umar sendiri. Sungguh, ia adalah pemegang rahsia-rahsia.

Ada lagi yang agung dalam gelar kesyahidannya.

Hamzah si penghulu Syuhada'
Jaafar pemilik dua sayap yang terbang kian kesana kemari di syurga.
Abdullah ibnu Rawahah yang ranjangya terbang menghadap Rabnya
Saad Bin Muadz yang kenaikan ruhnya membuatkan Arsyi Allah berguncang
juga Handzalah yang dimandikan oleh malaikat pabila syahid di medan juang.

Ada yang mulia dengan perbuatannya

Usaid bin Hudhair yang tilawahnya didengarkan malaikat.
Ibnu Mas'ud yang qiraatnya sama seperti saat Al-Qur'an diturunkan.
Abdurrahman Bin Auf yang diberkahi sadaqah dan simpanannya.
Keluarga Abu Thalhah yang membuat Allah takjub
dan Ukasyah yang ingin bersentuh kulit dunia akhirat dengan Rasulullah

Subhanallah

Ada susuk-susuk low profile  seperti Ahli Syurga yang diintip oleh sahabat yang begitu ingin mengetahui apa rahsianya sehingga dijanjikan syurga kepadanya. Namanya Abdullah ibn Amr ibn Ash
Sedikit yang mengenali Abdullah bahkan Abdullah tidak melihatnya memiliki keistimewaan apa pun.
Namun rahsianya adalah keikhlasan dan kejujuran

"Aku selalu menanggalkan semua perasaan tidak enak dan prasangka terhadap sesama mukmin sebelum tidurku... "

Bahkan di antara sepuluh orang yang dijamin untuk syurga itu terdapat Sa'id bin Zaid yang merupakan seorang low profile yang namanya nyaris tidak muncul dalam sirah selain dalam kisah keislaman Umar dan kisah sengketa tanahnya dengan seorang wanita tua.

Subhanallah

Ada juga kisah lucu di sebalik susuk-susuk celupan Ilahi ini.

Tsabit bin Qais yang ketika turunnya Surah Al Hujurat ayat 2 yang berisi larangan meninggikan dan mengeraskan suara kepada Nabi, ia mengurung dirinya berhari-hari di dalam rumah.
Ia fikir ayat itu ditujukan kepadanya yang berpembawaan keras melengking tinggi saat berkata-kata.
Namun Rasulullah menghiburnya

"Tidak, katakan padanya dia tidak termasuk dalam ayat ini, bahkan dia dicintai Allah dan RasulNya "

Ada yang pernah buat dosa, tapi ia jujur!

Ma'iz mengakui penzinaannya, meminta rejam untuk dirinya sampai Rasulullah mengatakan
"Jika taubatnya dibahagi untuk seluruh penduduk Madinah, nescaya ia mencukupi bagi mereka"

Kaab bin Malik yang mengaku jujur bahawa ia tidak punya alasan yang kuat untuk tidak menyertai perang Tabuk. Lalu Kaab dipulaukan oleh Rasulullah dan para sahabat selama lima puluh hari setelah mendapat perintah dari Allah.  Tanpa tegur sapa dan bertanya khabar. Suatu pelajaran dan ujian yang getir buat Kaab. Ketika bumi merasa sempit menghimpit, ia kuatkan dirinya pabila surat tawaran Raja Ghassan sampai kepadanya dengan mengatakan "Inilah musibah sebenarnya" sambil melempar surat tersebut.

Ketika penantian menyesakkan itu membuahkan penerimaan taubat, Rasulullah bersabda kepadanya
"Bergembiralah dengan hari terbaik seperti engkau dilahirkan ibumu!"
Dan hari itu, wajah Rasulullah bagai purnama yang hanya dikhaskan bercahaya untuk Kaab.
Wajah itu sangat ia rindukan setelah 50 hari berlalu membuang muka ketika melihatnya .

Menjadi muslim adalah menjadi kain putih. Lalu Allah mencelupnya menjadi warna ketegasan, kesejukan, keceriaan, dan cinta, rahmat bagi semesta alam.

Aku menjadi rindu pada pelangi itu, pelangi yang memancarkan celupan warna Ilahi,
wahai Yang Maha Penyantun lagi Maha Penyayang

( Dipetik dari buku Salim A. Fillah yang bertajuk "Saksikan Bahawa Aku Seorang Muslim" . ada diubah suai sedikit-sedikit struktur ayatnya )

=======

Demikian perkongsian berbentuk Sirah dari buku yang tersangat best ni. Nak sambung baca lagi ni.
(Andai diberi kekuatan ketidamengantukan)
Ada kemungkinan tidak tidur sampai tiba waktu untuk menyediakan dan memakan sahur untuk esok hari.





Saturday, August 20, 2011

Mak Cik - Mak Cik


Dari tengahari sampai waktu berbuka puasa.

Duduk di samping  mak cik- mak cik dan  kakak-kakak sambil mendengarkan banyak peringatan dan pesanan tentang kebenaran dan juga pesanan tentang kesabaran.

Memandangkan 'budak-budak kecil' yang selama ini menjadi geng tak dapat turun sama, maka kita bergaul dengan mak cik-mak cik (memang pangkat mak kita dah ni) dan kakak-kakak yang lemah lembut dan berbudi bahasa (warghh .. inferior dengan mereka).

Soalan yang kerap ditanya oleh mereka
'datang sini dengan siapa?'
'parents siapa ya?'
'ni duduk kat area mana?'
'belajar dekat sekolah mana?'  (errrkkk... :D)

Nah, bermulalah di situ taaruf dari alif sampai ya'..

tanya mak cik kenal tarbiyyah sejak bila?

'sejak pergi overseas'

'sejak studi di US lagi'

atau

'sejak berkahwin dengan pak cik'


huu. bila duk kira-kira, maknanya sudah hampir puluhan tahun juga.
tidak macam aku, yang baru kenal dan menjebakkan diri setahun dua tiga .

Aku juga telah bersaksi bahawa terlalu banyak 'rumah' yang telah didirikan oleh pak cik-pak cik, mak cik-mak cik, abang-abang, kakak-kakak  yang begitu memahami apa itu Baitul Muslim dan apa sasaran Baitul Muslim mereka.

Tengok dan mendengar mak cik- mak cik terutamanya.
Bercerita tentang anak-anak, dakwah, tarbiyyah, usrah
tentang masyarakat, dan bangkitkan isu-isu umat

 "'Majlis graduasi' atau  pencen dari usrah dan tarbiyyah hanya pabila tiba saatnya mati "

terlalu banyak yang aku belajar dari mereka, walaupun bukan semua hasil dari pengisian atau perkongsian. lihat qudwah yang ditunjukkan itu pun sudah terlalu banyak yang telah membuatkan diri ini insaf dan  muhasabah.

Maka, point yang paling penting yang aku dapat
Thabat.
Tetap dan teguh di atas jalan yang sukar, yang penuh duri, yang mudai dinodai

dan

Baitul Muslim. adalah tanggungjawab yang berat.


Thursday, August 18, 2011

Simpan Duit




Untuk apa?

kalau waktu tahun pertama dahulu, dengan wang biasiswa yang berjumlah 225 USD setiap bulan, perlu disimpan untuk tiket penerbangan pulang ke Malaysia. Dalam kepala waktu tu, memang tak terfikir untuk tinggal di Mesir dan menghabiskan cuti musim panas dengan belajar ilmu-ilmu lain selain ilmu medik di sana.

Tidak macam geng kamcing aku yang waktu tahun pertama dah berjihad dengan keluar dari kawasan Fustat yang kering dan tandus itu demi belajar bahasa Arab di rumah ustaz ustazah mereka yang terletak jauh dari Fustat. Walaupun mereka juga pulang ke Malaysia pada cuti musim panas, namun wang yang didapati mereka telah digunakan dengan sepenuhnya. Mereka nampaknya lebih menghayati makna perjuangan menuntut ilmu seperti yang ditunjukkan oleh Imam Syafie.
Nah, walaupun kata mereka tak ada lah dapat banyak mana pun ( tu kata mereka la) tapi yang penting usaha tu. Masya Allah. Banyak sudah saham untuk akhirat di situ .

Tahun kedua, pun sama. Elaun biasiswa telah dinaikkan sebanyak hampir 100 peratus. Maka tiada lagi alasan untuk tidak menyimpan. Taraf  kehidupan di Mesir, tidak lah tinggi mana pun. Harga barangan di sana, boleh dibahagi dua dengan perbelanjaan di Malaysia sini. Sebiji telur di Mesir hanya bersamaan 30 sen di Malaysia (60 kursh di Mesir) Ini harga sekarang. Kalau harga barangan lain dahulu jauh lebih murah. Mungkin kenaikan harga barang-barang ini selaras dengan kenaikan kenaikan elaun biasiswa (yang sememangnya bila difikirkan sudah tentu tidak ada logiknya) .

Maka dengan elaun sebanyak itu, boleh dibahagi dua terus. Separuh untuk perbelanjaan hidup seharian (sewa rumah, bil elektrik, bil air, perbelanjaan bahan-bahan mentah untuk rumah, perbelanjaan bawwab?, buku-buku,) manakala separuh lagi untuk menyimpan. Misal kata kalau sebulan boleh menyimpan sebanyak hampir 200 usd sebulan, kalau sembilan bulan sudah hampir mencecah 2000 usd. Maka, boleh menyimpan lagi untuk tiket balik ke Malaysia untuk tahun itu. (sila kecualikan aku dalam hal ini. tiap-tiap tahun ayah sponsor untuk tiket balik Gombak. Emak kata, rezeki jangan tolak. Tapi bila dah kahwin, faham-faham je la :D)

Bagi mereka yang bukan kaki shopping, kaki jalan dan juga bukan kaki suka makan di tempat-tempat mahal, sudah tentu awal-awal lagi  mereka sudah diisytiharkan sebagai orang kaya.

Dan biasanya 'orang-orang kaya' seperti ini telah membelanjakan wang mereka dengan sebaiknya. Wang banyak dihabiskan untuk kelas pengajian Al-Qur'an, kelas Bahasa Arab dan kelas tuisyen medik mereka.
Ada yang menghabiskan sejumlah wang  besar di setengah-setengah tempat belajar .
Apa pun,  perjuangan mereka dalam menuntut ilmu itu sudah tentu tidak dapat dinilai dengan nilai wang apa sekali pun. Subhanallah

(panjang benar intro nya)

Secara peribadi, aku mungkin boleh digolongkan sebagai mereka yang menyimpan duit sejak tahun pertama (walaupun tak ada lah menyimpan banyak mana) .Cumanya dalam hal-hal belajar seperti kelas-kelas dan buku-buku yang boleh digunakan untuk tempoh yang lama (seperti buku-buku medik), tiada kompromi, tiada tolak ansur dalam penggunaan wang. Aku masih ingat pesan ayah, kalau nak beli buku atau makanan, tak perlu berjimat cermat. Tapi jangan pula sampai membazir kata ayah lagi.

Bab-bab shopping di tempat-tempat besar, besederhanalah. Orang kata, seorang pembeli yang bijak adalah membuat senarai barang yang mahu dibeli dahulu sebelum menjejakkan kaki ke pasaraya atau pusat membeli belah. Bukannya pergi sana dahulu, baru nak fikir nak beli barang apa.

Selain itu, aku juga sering berhasrat menyimpan duit untuk ke negara-negara yang asing bagi aku. Semakin naik usia menjadi tua, aku semakin suka mentadabbur alam dan sejarah. Dan sudah tentu mengambil kesempatan ini untuk bertemu dengan jiwa-jiwa yang aku begitu rindu dan sering terbayang-bayang pertemuan dengan mereka walaupun dalam angan sahaja.

:)
 

Namun sejak dua tiga bulan ni, sering terpukul dengan satu kenyataan. Aku sibuk menyimpan wang untuk benda-benda lain sampai terlupa untuk menyimpan untuk menjejakkan kaki ke Baitullah, tempat yang paling suci di atas muka bumi. Terlupa bahawa aku belum lagi berpeluang untuk menatap Rumah Allah.
Terlupa yang aku masih belum pernah beribadat di tempat berjuangnya Rasul aku (sollallahu alaihi wasallam) dan para sahabat baginda

Selama ini hanya mendengar cerita-cerita yang mengharukan dari orang lain.
Kata mereka, bila sudah jejakkan kaki ke sana, terasa mahu pergi balik.
Ada yang rasa tak mahu pulang.
Ada yang menangis teresak-esak sambil bertawaf 'selamat tinggal'.
Ada yang bertahun-tahun meninggalkan tanah suci tetapi tiap-tiap hari terasa dipanggil untuk ke sana lagi. 

Allah, perasaan apakah itu?

Moga suatu hari nanti, aku diizinkan oleh Allah untuk menjadi tetamuNya.
Mungkin bila  pergi nanti,  tidak pulang-pulang dari sana

dan sungguh kepada Allah lah jua sebaik-baik tempat kembali

(Pernah hadiri satu kelas ni. Ustaz pelik kenapa ramai kita-kita buat kenduri kendara dan minta semua doakan selamat pergi dan pulang. Ustaz kata bukan ke kalau meninggal di Mekah itu pun satu nikmat?)

Wallahua'lam.

Oh ya, pada 20 Ramadhan nanti, seorang adik akan berangkat ke bumi Gaza sebagai wakil dari institusi pendidikan bagi menyempurnakan misi kemanusiaan di sana.  (best nyaaaaa)

dan selamat berangkat untuk mengerjakan umrah dan menjadi tetamu Allah buat kembar kesayangan, teman-teman rapat dan perempuan-perempuan cantik. Mereka tak balik Malaysia tahun ni.
Setelah menghadiri kelas berbentuk pakej 100 jam bersama ustaz ustazah sepanjang cuti ini (dan berdebar menunggu keputusan peperiksaan) kini mereka sedang menghitung hari untuk terbang ke tanah suci :)

p.s: Alhamdulillah thumma Alhamdulillah. Atas rahmat, kasih sayang Allah, kerana keberkatan Ramadhan dan kerana doa mereka semua yang mendoakan, aku diizinkan oleh Allah untuk naik tahun 5 bermula semester hadapan.

:)




Wednesday, August 17, 2011

Tak Semua Orang





Tak semua orang yang kita jumpa atau terserempak baik secara realiti atau di alam maya,
kita diberi peluang untuk berkenalan

Tak semua orang yang kita kenal, kita diberi kesempatan untuk kenal dengan lebih rapat

Tak semua juga yang kita kenal dia sebagai teman rapat kita,
kita mampu menangis bila dia waktu senang,
dan yang paling berharga kita juga menangis
pabila dia sedang mengalami saat-saat getir dalam hidup.

buat kawan yang kita sayang, yang teramat sayang
moga dikau diberikan dan dipinjamkan kekuatan,
dikentalkan hati dan jiwa
dikebalkan fikiran dan perasaan
untuk menghadapi sebarang kemungkinan
yang kita semua tahu ianya pahit untuk ditelan

kita, mereka, kau dan aku pun tahu
yang semua yang kepunyaan kita hanya pinjaman
hatta segala peluang untuk kita berbakti kepada orang-orang tua kita pun 
hatta segala kenangan manis aku bersama engkau pun
Allah hanya bagi pinjam
untuk sementara cuma

Allah Yang Maha Tahu
Allah Yang Maha Mendengar
Segala yang tersurat dan tersirat
dalam hati aku dan engkau

dan hanya Allah yang tidak pernah dan tidak akan mengabaikan kita,
Allah yang tidak pernah lupakan aku dan engkau

yang sepatutnya dekat tetapi jauh dari engkau,
yang sebolehnya mahu terbang untuk berada di sisi engkau ,
-f-



Sunday, August 14, 2011

Hala Tuju



Pelik dengan balasan jawapan seorang teman suatu ketika dahulu, bilamana aku menyoalnya kenapa kau ambil medik, dia menjawab sebab waktu dapat keputusan SPM semua A, dalam kepala tak terlintas benda lain selain medik. Berlainan dengan aku yang mana aku dahulu sebelum ambil SPM lagi kena target medik. kena dapat A1 untuk Biologi. Sebab aku memang tak nampak apa yang aku mampu buat, mampu menyumbang, selain medik. ( Cuma dalam dua tiga tahun ni, tiba-tiba rasa nak mendalami bidang sejarah Islam)

 Tapi tu cerita dahulu. Aku yakin sekarang dia (dan aku) sudah mempunyai matlamat dan hala tuju yang semakin jelas, tentang nak bawa dan gunakan bagaimana 'alat' (medik) yang kami ada ini. Sudah tentu bukan setakat nak menampung hidup di masa hadapan yang entah bagaimana lah agaknya nanti.

Bersiap siaga lah untuk menghadapi kehidupan yang melelahkan ini. Masa depan nanti mungkin tidak se senang macam sekarang. Masa depan mungkin akan berhadapan dengan keadaan tidak cukup wang, konflik keluarga, keadaan masyarakat yang pelik-pelik, tanggungjawab terhadap kerja dan lain-lain.

 Tiada bezanya juga keadaannya bila diberi taklifan dan tugasan untuk membawa usrah. Meneruskan perjuangan yang sakit walaupun tidak sedar yang ianya perit dengan matlamat hanya satu. Redha Allah. Dan matlamat ini semakin terang dan jelas.

 Diberi amanah untuk menjaga, mendidik, mentarbiyyah adik-adik. Yang pastinya, keadaan aku waktu itu yang begitu sedikit ilmu dan rendah keyakinan untuk tampil memberikan qudwah kepada mereka.

Yang pastinya, mereka lah yang membentuk aku sampai menjadi aku yang sekarang.

Dalam tidak sedar, mereka jua lah yang mengajar aku maksud ikhlas, sabar, menyayangi saudara seperti menyayangi diri sendiri dan lain-lain.

 Pulang dengan misi yang lebih berfokus dan semangat yang tinggi (moga ia tidak cepat jatuh merudum dengan begitu cepat. tak mau tak mau). Nak memperbanyakkan amal di samping membawa mereka untuk pergi lebih jauh di atas jalan ini.

Supaya diri sendiri dan mereka menjadi lebih terdidik moga bila dicampakkan ke tengah lautan, bakal menjadi sebuah pulau. Andai diletakkan di tengah-tengah daratan, bakal menjadi sebuah gunung yang berbakti kepada hidupan.

Mudah-mudahan bila dicampak ke mana sahaja, kader-kader ini bukan setakat mampu mendidik malah mampu bergerak untuk membuat perubahan. Moga dengan segala usaha yang tidak seberapa ini, mampu memberikan saham yang terbaik di akhirat. Insya Allah.

 Dah kena 'ketuk kepala' dengan kakak-kakak, kawan-kawan dan adik-adik yang baru pertama kali berjumpa dan duduk meluah masalah. Kesedaran dan semangat sedang berada di tahap yang terbaik .
Dan tidak sabar rasanya mahu berjumpa dan berkumpul semula dengan geng-geng baik (perempuan2 cantik, perempuan2 puitis), bermuhasabah dan menyusun semula apakah langkah seterusnya.
Terlalu banyak perkara yang boleh dan perlu diperkemaskan lagi.

 Teringat pesanan seorang pak cik. Kita sebagai muslim sepatutnya ambil tahu sikit-sikit  benda yang bukan dalam bidang kita dan semestinya menjadi serba tahu  dalam bidang yang kita ceburi.

 p.s: Entri tiba-tiba jadi panjang. Boleh je nak tulis entri dan disetkan untuk di pos pada sekian sekian hari. Tapi bak kata ayu, bila menulis tidak kena pada emosinya dan masanya, entri itu seolah-olah seperti tidak hidup. seperti tiada ruh!



Monday, August 8, 2011

Mbak El,






"Mbak El, setiap orang pasti punya prinsip dalam hidupnya. Biasanya kan, ia berdasarkan apa yang diyakini kebenarannya.. Betul kan mbak El?"

"Prinsip hidup saya berdasarkan Al-Qur'an dan Hadith. Dalam agama kita, masalah kesucian itu harus diutamakan. Itu terbukti kenapa pelajaran pertama dalam buku-buku fikih adalah bab Toharoh, tentang bersuci.  Agar penganutnya selalu menjaga kesucian baik lahir mahupun batin "

"Di antara kesucian-kesucian yang dijaga adalah kesucian hubungan antara pria dan wanita"

"Kalau saya melakukan ciuman dengan wanita yang tidak halal bagi saya, berertikan saya telah menodai kesucian  saya sendiri dan juga menodai kesucian wanita itu kan? Maaf Mbak El, itu adalah musibah bagi saya"

"Mungkin orang akan mengatakan saya kolot, kampungan, bahkan primitif sekalipun, saya tidak peduli.
Saya bahagia dengan apa yang saya yakini kebenarannya "



Saturday, August 6, 2011

Waktu Berbuka





Waktu kecik-kecik, saat yang sentiasa ditunggu-tunggu pada setiap Ramadhan bukannya waktu nak dikejut emak untuk bersahur. Yang pastinya, saat yang dinantikan adalah waktu berbuka puasa.

Mana tidaknya, waktu berbuka puasa adalah saat untuk aku melihat emak menyajikan berbagai juadah, lauk pauk kegemaran, biarpun tak semuanya emak yang masak, bukan semua kak long yang buat.

Yang paling aku ingat, emak menugaskan aku dan adik buat kuih buah melaka dan agar-agar bandung berbentuk cangkerang.

Sampai suatu hari, aku lihat meja seakan-akan kosong. Ada lah dalam dua lauk. Satu makanan bersumberkan protein, satu lagi sayur-sayuran. Kuih satu jenis.

aku tanya emak

'ni je?'

sambil tarik muka. Muncung. Hilang dah keseronokan menanti waktu berbuka puasa.

emak memujuk . Kata emak, kita kena bersyukur apa yang kita ada. Nak dibandingkan dengan orang lain yang mungkin berbuka puasa dengan seteguk air sahaja. Cuba tengok tv. Tengok kanak-kanak di Palestin, di kebanyakan negara miskin di Afrika, kanak-kanak di Iraq etc.

Susah jugak nak menerima hakikat waktu tu. Nak telan dan hadam perkataan syukur tu punyalah payah.

Sekarang dah faham. Mungkin belum faham sepenuhnya. Tapi setiap hari, aku belajar bagaimana untuk bersyukur. Bagaimana untuk menghargai Ramadhan.

Ramadhan adalah bulan untuk kita ber'pesta' beribadah. Sungguh-sungguh
bukannya berpesta juadah

==========

(petikan dari Solusi)

Al-Qur'an dan Ulama

Bila sampai bulan Ramadhan, Abu Bakar Al Shibli akan meningkatkan ketekunan ibadahnya.
Katanya

"Inilah bulan yang diagungkan oleh Allah, maka aku mesti menjadi orang pertama yang mengagungkannya"

Ribuan tabiin sejak zaman sahabat melakukan perkara yang sama. Mereka akan memastikan ibadah mereka pada bulan Ramadhan melebihi ibadah yang mereka kerjakan pada bulan-bulan yang lain.

Ibrahim Al-Nakha'i berkata :

"Al-Aswad bin Yazid (ulama tabiin di Kufah) mengkhatamkan Al-Qur'an pada bulan Ramadhan setiap dua hari sekali. Beliau tidur antara maghrib dan isyak. Selain bulan Ramadhan, beliau akan mengkhatamkannya enam hari sekali "

Salam bin Muti' berkata

"Biasanya Qatadah (ulama tabiin di Basrah)  mengkhatamkan Al-Qur'an setiap tujuh hari sekali. Apabila Ramadhan tiba, beliau mengkhatamkannya tiga hari sekali. Dan pada malam 10 terakhir, beliau akan mengkhatamkannya setiap hari sekali "

Begitu juga seperti yang dilaksanakannya oleh Imam Syafi'e.

Rabi' bin Sulaiman berkisah :

Al- Syafi'e mengkhatamkan Al-Qur'an pada bulan Ramadhan sebanyak 60 kali. Pada bulan yang lain sebanyak 30 kali.


Mudah-mudahan tergerak hati kita untuk meniru keakraban dan ketekunan para ulama' dengan Al-Qur'an selepas ini sementara hidup, sampai mati.

Rasulullah s.a.w, para sahabat Nabi yang setia, para tabi' tabi'in sentiasa memberi contoh yang baik kepada kita untuk diikuti. Tinggal kita entah ke mana pergi niat ikhlas dan semangat untuk memburu syurga dan cintaNya tu.



Friday, August 5, 2011

Berkat


Semakin rasa bila bersyukur,
baik dengan ucapan alhamdulillah beribu-ribu kali
atau sujud syukur lama-lama
atau diperbanyakkan sedekah
dan selawat ke atas Nabi s.a.w

ia takkan dapat menandingi
nikmat kurniaan hadiah yang Allah beri
buat hamba yang hina dan kerdil ini

nikmat ibu ayah
nikmat anak-anak soleh solehah
nikmat ketenangah hati
nikmat kesejahteraan rumahtangga
nikmat kesihatan
nikmat suasana yang soleh
nikmat pengetahuan dalam agama


Lagi-lagi bila didatangkan Ramadhan
tatkala berita gembira sampai di telinga
hati berbunga-bunga seperti dilamun cinta buat kali pertama

semuanya kerana keberkatan Ramadhan.
Ramadhan yang penuh rahmat dan kasih sayang
yang tidak terhingga


=================


Tersentuh dengan kelurusan hati seorang adik


" Tahniah di atas kejayaannya "   ucap seorang teman kepadanya

"alhamdulillah. Semua ini dari Allah. bukan dari aku "


Wednesday, August 3, 2011

Malang



Perjalanan menuju kematian bermula sebaik sahaja dilahirkan





Ada sebuah hadis. Dari riwayat Ahmad.
Suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w sedang menaiki mimbar, lalu Baginda menyebut 'amin' sebanyak tiga kali.
Seusai memberi khutbah, para sahabat bertanya kenapa disebut 'amin' sebanyak tiga kali?

Rasulullah s.a.w menjawab bahawa malaikat Jibrail datang ketika itu dan berdoa.

Sangat kecewa dan rugilah bagi :
  • Orang yang apabila disebut nama Muhammad, tidak dibaca selawat ke atasnya 
  • Orang yang sempat hidup bersama orang tuanya, tetapi tidak masuk syurga 
  • dan orang yang sempat hidup dalam bulan Ramadhan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya 
Teramatlah malang, jika kita termasuk di dalam tiga golongan tersebut. 









Petikan dari Solusi edisi Ramadhan

Lagu Blog : 'Welcome Ramadhan' by Mishary Rashid




Tuesday, August 2, 2011

FF










'Kak!'

menoleh ke belakang. berpaling dari kedai 'firakh masywi' .  Petang tu tak larat nak masak untuk orang-orang rumah. Kita makan nasi putih dengan ayam golek sahaja lah!

Dia datang mendekati. Lama tak jumpa.

'Kak apa khabar?'

Awak! Lamanya tak jumpa . Kak ok je. Kamu tu, dah ok betul-betul ke ni?

'ok je kak. alhamdulillah. Boleh jalan-jalan dah ni '

Pertemuan yang singkat. Itu pun yang menyapa dahulu, dia. Bukan aku

Kali terakhir bersemuka, beberapa bulan yang lepas. Keadaannya, masih terlantar di atas katil.
Dari luaran, tampak dia lemah. Tak berdaya. 
Namun, senyuman setia di bibir. Tanda menghargai sesiapa yang menziarahi.
walaupun yang menziarah, tidak dikenali. Siapa lah kakak ni

Teman-temannya ceria dalam sabar. Demi menjaga dia. Demi menemani dia. Kagum

Satu ketentuan. Bila mana satu hari aku terdengar adik-adik nak berziarah orang di hospital.
aku tanya siapa? tiada jawapan. Sakit apa? Bisu lagi

Ok lah, fine. Sekurang-kurangnya bagi tahu lah akak dia duduk wad mana, tingkat berapa, kat celah mana dalam hospital tu. Nanti kak cari sendiri. Kata aku, sebab tak mahu diorang rasa serba salah.
Tengok muka pun dah tahu. , semua takut-takut nak beritahu siapa sakit dan apa yang sakit.

Ada lah dalam seminggu itu, boleh kata setiap hari aku ke hospital. Menziarah, orang yang aku tak pernah kenal.Yang tahu, namanya sahaja. FF. Rupa, latarbelakang, tidak diketahui.

Waktu bertaaruf ketika dia terlantar pun, baru lah aku tahu yang dia pun pernah menuntut di Kisas.

'kita ni dari tempat yang sama lah. maka, jadi adik kakak la kan'

Tanya dia sakit apa. Tak nak bagitahu.
Tanya dia, nak tengok ubat. Yang aku nampak dan  ingat. Ubat Corticosteroids.
Tanya dia, nak tengok result segala test, x ray, ct scan semua , boleh?

Dia geleng kepala.

'Tak boleh bagitahu akak apa-apa. Rahsia '

aku tersenyum. Demi menghormati dia, aku akur

Lalu pada suatu petang, rutin biasa minggu itu selepas kelas akan melawat hospital merah. Menuju ke wad dia, tiba-tiba seorang doktor muda lelaki, panggil aku. Pintanya agar berpesan kepada adik aku tu untuk buat ujian tertentu pada sekian sekian harinya. Aku terus kata ok doktor. Nanti saya beritahu dia.

Aku tanya pula kepada doktor, adik saya tu sakit apa? Doktor pun menjelaskan serba sedikit. Tanpa rasa pelik kenapa aku tak tahu apa-apa.

Pertama kali dengar nama penyakit,terbayang di dalam kepala segala nota-nota yang doktor pernah ajar di dalam kelas. Tetapi tidak lah terperinci sangat yang diajar. Mungkin bila naik tahun 5 tahun 6 baru tahu banyak lagi
(ke aku tak belajar sungguh-sungguh Patho dulu. ye la kot)

Aku ke bilik dia dan buat muka biasa. Seolah-olah aku tidak hal yang sebenarnya.
Dia pun menyambut aku macam biasa.

Dia yang sakit, dia pula yang melayan aku. Baginya aku buah, nasi yaman, makaroni yang teman-temannya bawa untuk dia. Terbalik dah.

Kalau tak sempat melawat waktu petang, aku akan kosongkan sedikit waktu pada malam.
Akan ku seret Syila atau Syidah untuk menemani aku.

Peperiksaan pertengahan tahun yang menjelang, dan aku tenggelam dalam dunia klinikal.
Sudah tiada punya ruang dan waktu untuk ke hospital lagi. Teruk sungguh. Sms pun baru sekali dua.

Cuma bertanya-tanya khabar kepada rakan-rakannya. Yang aku dengar, dia hanya akan keluar dari hospital, untuk menghadiri peperiksaan. Lepas exam, terus kena balik hospital.

Aku pernah kata pada dia,bila waktu exam, tak perlu ambil periksa lagi. Atau mungkin boleh minta universiti sediakan peperiksaan di hospital sahaja. Tapi dia tak mahu begitu. Tak ingin menyusahkan ramai orang katanya. 

FF

Awal Julai, menuju ke pertengahan bulan.
Dengar cerita dia dimasukkan ke hospital merah lagi.
Kritikal
masuk CCU  (Coronary Care Unit). Wad yang dikhaskan untuk mereka yang mengalami komplikasi jantung
dan Koma selama beberapa minggu

Malam pertama Ramadhan di Malaysia, selepas Tarawih
Dapat khabar, bahawa dia telah pergi
buat selamanya
pergi menemui Pencipta dan Penjaga dia

Syidah mesej 'Mati tu sangat dekat, kan '

Sebuah ketentuan dan ketetapan
Bahawa dia pergu dahulu sebelum aku.

hari ini, aku banyak berfikir. Mengapa agaknya ketentuan Ilahi menetapkan yang aku akan mengenali dia.
Kenal pun, waktu dia sakit. Tak pernah kenal waktu dia sihat
Kenal beberapa bulan sebelum Tuhan menjemput dia
Walaupun mungkin hubungan antara kami senior junior tidak lah serapat mana pun.

Aku tidak boleh sedih sangat (tipu lah kalau tidak sedih langsung)
Sebab tahu setiap kehilangan sebenarnya mendidik kita.
semua peneman dan insan dalam hidup kita hanya pinjaman
Mendidik supaya kita sentiasa sedar yang hidup kita dan hidup orang lain hanya sementara.
Tidak ada yang kekal melainkan Dia Yang Maha Kekal

dia mungkin sudah dijemput oleh Tuhan lebih awal dari aku
namun segala ingatan, sedikit kenangan
isi perbualan, diam sunyi sepi
mungkin akan kekal,
sampai ke liang lahad.

aku sangat menghargai arwah FF
yang pernah hadir dalam hidup aku
untuk mengajar aku sesuatu
tentang hidup
tentang mati
tentang hidup setelah mati
tentang waktu sihat, boleh lompat-lompat, berlari
dan tentang waktu sakit, sehingga tenat. atau mungkin tak sempat tenat.

FF. kalau kalian buka PerubatanOnline dan google sikit-sikit, mungkin kalian akan tahu lebih banyak lagi tentang dia.

Allahummaghfirlaha Warhamha Wa'afaha Wa'fu Anha
Al Fatihah


Monday, August 1, 2011

Orang Lain, Diri Sendiri




Orang lain
Balik Malaysia  lambat. Atau pun tak balik langsung (hari tu waktu revolusi kan dah balik)
Sertai macam-macam kem, ceramah, kelas tafaqquh, kelas Bahasa Arab
Sertai program 'attachment' dengan Hospital Merah, Kaherah
(jeles amat)

Diri Sendiri
Balik Malaysia awal (suka)
duduk rumah. kemas rumah.
Habiskan baca buku yang bertingkat-tingkat (cuti adalah waktu yang paling sesuai untuk meningkatkan tsaqafah=pengetahuan)
intai buku-buku resepi di alam maya untuk juadah berbuka puasa (masak untuk dua orang je pun)

Tapi tak apa. Allah lebih tahu apa yang baik untuk engkau
:)

=====================

Apa erti ramadhan untuk engkau?
Ramadhan adalah bulan 'megasale' !
Mahu pahala percuma? Sila sila jebakkan diri, dekatkan jiwa dengan didikan Ramadhan
Pahala yang terlalu banyak, Siap sedia untuk dikutip oleh hamba-hambaNya yang rindukan dan cintakan Ramadhan.

Semakin jelas bahawa bila berpuasa, bukan setakat puasa dari makan dan minum.
Tapi kita berpuasa juga dari menjerumuskan diri di dalam lembah lagha (lalai)

Mungkin kita boleh mula puasa FB sikit-sikit?
Atau puasa dari membaca gosip hangat sikit-sikit?
Juga puasa dari marah, puasa dari berasa hasad dengki,
puasa dari menonton dan mendengar segala benda yang tidak bermanfaat
puasa dari tidur siang tak bangun-bangun
puasa dari hiburan yang melalaikan

Benar lah.
Bila datangnya Ramadhan, ini bermakna kita kena fokus.
Fokus dengan amal ibadat.
jangan mudah terpengaruh dengan benda-benda yang boleh menggugat fokus kita kepada Ramadhan

Supaya nanti bila kita keluar dari 'sekolah' Ramadhan, kita dah cukup kental untuk berhadapan dengan berbagai-bagai ujian dan cubaan yang bakal menguji iman dalam hati kita

Supaya nanti bila keluar dari madrasah Ramadhan, kita semakin jelas yang mana Al Haq,
dan yang mana pula Al Batil

Supaya nanti kita bila keluar je Ramadhan, segala movie, lagu-lagu dalam laptop, dalam hardisk
kita dah tak pandang. Kita sudah kurang ambil peduli tentang semua tu

Sebab kita tahu kita tak kejar pun semua tu.
Kita hanya nampak akhirat

kerana Ramadhan membuatkan kita sentiasa butuh kan Al-Qur'an
Ramadhan telah menjadikan hati kita lebih tenang
lebih dekat dengan Pemilik hati kita
Ramadhan lah yang bakal menemukan kita dengan satu malam yang bernama Lailatul Qadr


Sebab itu, hanya orang-orang yang tertentu sahaja akan benar-benar merindui Ramadhan .
Dan akan menangis bila Ramadhan akan pergi





Tersentuh dengan coretan luahan perasaan beberapa orang teman tentang makna Ramadhan bagi mereka.

Subhanallah.

===========


Seorang adik Cairo telah pergi selama-lamanya setelah koma beberapa minggu.
Pergi untuk menemui sebaik-baik Penjaga pada malam pertama Ramadhan

Al Fatihah




 

Template by Web Hosting Reviews