Tuesday, May 31, 2011

Pre Exam Forensic





Dulu, waktu zaman-zaman Kisas, aku masih ingat lagi ajaran turun temurun yang diajarkan oleh senior setahun bahawasanya waktu petang lepas asar tidak elok untuk study. Dan boleh la dikatakan aku telah mengamalkan ia selama beberapa bulan sehingga habis penggal kedua tingkatan empat. 

Tapi bila naik tingkatan lima ditambah lagi tahun tu aku belajar fizik dengan Mr Wong dan English dengan Miss Lin, tiada lagi istilah 'tak boleh study waktu petang lepas asar'. Setiap masa kena study. Asal waktu lapang, wajib lah berkawan dengan buku. Hatta nak minum air teh di dewan makan pun. Sampai kadang-kadang rasa down bila tengok kawan-kawan study sambil mengunyah karipap. 

Senanya nak cakap, sekarang di Cairo sedang meniti waktu asar. Dan tak lama lagi akan menjelang waktu maghrib. Baru sudah menelefon orang-orang di Malaysia minta mendoakan kami di sini yang akan 'bersilat' dengan subjek Forensic di dalam dewan peperiksaan pada keesokan hari. 

:)

============

Aku takkan lupa ayat Dr Dina (Ketua Jabatan Forensik Medicine) bila hampir tamat kelas atau orientation lecture beliau pada hari itu.  Katanya kepada kami pelajar Malaysia, tak usah gusar dan bimbang. Peperiksaan yang bakal kami hadapi nanti insya Allah boleh jawab, andai faham, dan hadam buku. 
Cumanya itu lah (saspen bila dengar Dr ucap perkataan 'but'. Rasa nak luruh jantung ) 
Sudah tentu doktor-doktor akan menyediakan set soalan yang akan membezakan (doktor guna perkataan discriminate) kami kepada kelas pelajar yang berbeza-beza.

Dalam exam ni lah kita akan tahun pelajar mana yang baca dan hafal buku, siapa yang study hard dan siapa pula yang betul-betul faham dan belajar dengan cara smart. Jawapan yang akan diberikan masing-masing nanti yang akan menentukan semuanya. 

Gulp.... (kakak-kakak senior pun banyak kali pesan minta hati-hati dengan soalan-soalan Dr Dina. Hati-hati dengan perkataan-perkataan pelik dalam buku. Mungkin itu lah yang bakal ditanya nanti) 

Dalam hati, hanya Allah sahajalah.. 

Dan bila menghadapi saat-saat macam ni, sampai tahap tak tahu nak study apa dah. Rasa macam dah study, tapi bila bukak balik buku 'aih, tadi baru je baca. tapi kenapa gaya macam tak baca apa-apa lagi ni?' 

Maka, kita tak tahu mahu berharap dan meminta pertolongan kepada siapa dah.
Kita hanya ada Dia.
Dia yang Maha Tahu apa yang bakal kita hadapi esok.
Dia yang Maha Tahu apa resultnya nanti-nanti. 

Dan sudah tentu kita yang beriman ni tahu yang  kita sebenarnya tidak mengharapkan natijah dan result yang best pun. Sebab kita tahu natijah ini hanya di dunia.
Kita tak nak mempersiakan satu habuk pun masa yang ada dunia ini .
Kita hanya mahu memberikan persembahan yang terbaik. 
Supaya di akhirat kelak, ada ganjarannya. 

Kita pun tahu kita bekerja keras ini bukan untuk dunia. 
Tapi untuk akhirat. 
Biarlah segala pekerjaan kita ini, mengingatkan kita 
yang kita akan kembali ke alam sana yang jauh lebih kekal dan abadi 
alam yang lebih 'menjanjikan'

Andai diberi kejayaan di sini, alhamdulillah. 
Tapi kita pun tahu ianya bukan dari hasil usaha kita. 
Kita pun tahu ianya  adalah kerana rahmat dariNya  

Tanpa rahmat Dia, kita ni bukan sesiapa pun.

Betapa Maha Adil nya Allah. 
Dia tak menilai hamba-hambaNya bijak ke pandai ke, excellent ke hamba Dia tu 
Tapi Dia menilai ikhlas ke tak, tawakkal ke tak, doa nya, usahanya. 
Qiyammullail nya, bacaan Al-Qur'an nya. 

Al Insyirah : 7
=====================

 Aku harap ini entri terakhir untuk bulan Mei. Tak tahu lah kalau esok lepas exam nak update ke tidak.
Sebab 2 jun nanti ada exam lagi. Mohon doa dari semua. Orang-orang sini dah semput-semput baca Forensik

Halalkan makan minum, Maaf andai ada tersalah kata, tersasar bicara.

p.s:  Untuk orang Warwick (atau menurut Encik Feed jit, kamu datang dari Coventry. Betul ke? saya agak je ), kamu selamat belajar. Tak tahu kenapa bila update blog ni, terbayang-bayang chat kita tempoh hari :)

p.s lagi : Aku tak boleh lagi nak mengisytiharkan musim exam adalah musim puasa dari blogging. Biasanya tak pernah menjadi. Maka lebih baik lah aku diamkan dulu. Kalau ada benda yang perlu ditulis dan dicoretkan, baru tulis. Kalau tiada, maka simpan lah dulu :)

yang menulis,
fathiyyah

Saturday, May 28, 2011

Sempurna




Waktu dalam bas dari Mansoura ke Cairo, dia ambil Ipod classic dari beg galasku.

Siap tanya dan minta satu lagu untuk dia dengar.
Aku pusing dan putar-putarkan benda alah tu sampai ke lagu ni.


Sempurna

'Lagu apa ni?'

Entah, tapi dulu aku pernah dengar yang versi lelaki punya waktu tengok album kawan aku kawen dalam tenet. Yang ni versi perempuan. Engkau dengarlah.

'Jom la dengar sama-sama. Kan sweet'

Haha . Layan je la. Dia ambil 'telinga' belah kanan. Aku ambil 'telinga' belah kiri .

Playlist dimainkan. Aku siap pesan , engkau jangan bayangkan sesiapa selain dari emak engkau.
First time aku dengar yang ni, aku teringat Gombak.

Habis je dengar, muka masing-masing berubah. Lagi-lagi dia lah, yang duduk sebelah tingkap.

'Seorang ibu ni kan, dia tak pernah anggap apa yang dia buat untuk anak-anak dia tu sempurna kan.
Tak pernah dia rasa sempurna'

Betul.

:')

Pernah dulu aku terfikir kenapa istilah uterus yang berisi bayi di dalamnya dikatakan sebagai 'Rahim'?

Entah.





============



Entry dia tentang emak.
Benar, kita cinta dan taat kepada emak, sebab Dia yang suruh kita taat.
Bukan sebab emak yang melahirkan dan mengasihi kita. Allah dulu kemudian  barulah yang lain..


Friday, May 27, 2011

Jalan



Bila berjalan setiap hari ke kelas, aku akan memerhatikan sekeliling kadang-kadang berfikir dengan begitu teliti sekali.

Kadang, bila melintas jalan merentasi berbagai-bagai jenis kenderaan seperti kereta, lori, bas, motor, kereta kuda, kereta 'keldai' dan sebagainya siap sempat aku berhenti tengah-tengah dunia sambil meneliti sesuatu yang terlintas sdalam kepala sampai aku senyum dan kagum sendirian.

Contohnya seperti

'hebatnya otak yang Allah bagi ni. Dia boleh agak kereta ni laju ke tak. Kalau laju, takkan lah aku sanggup nak lintas jalan. Kalau perlahan, silakan silakan'

Kadang, bila berjalan seiring atau berselisih dengan macam-macam orang. Kadang gelak dan senyum sorang-sorang tengok aksi orang. Yang di dalam kereta, yang tengah berdiri di sisi jalan sambil memimpin tangan ibu dan anak yang tersayang, yang pegang tangan kawan sebelah sebab takut nak melintas jalan dan lain-lain lah.

Yang si pemandu bas, pemandu teksi, pegawai polis trafik, penjual rokok tepi jalan, peminta sedekah sepanjang jambatan kcik Sg Nil yang menuju ke universiti, penjual payung, pemandu kereta orang kaya

Tapi biasanya kalau berjalan pergi atau balik dari hospital dan universiti, biasanya perasaan bercampur baur. Selalunya sedih dan muram sikit. Tambah lagi kepenatan (konon lah penat belajar medik).

Sebab tengok macam-macam keadaan orang yang baru keluar dan akan masuk ke kawasan hospital.

Kerusi roda kayu , kaki berbalut, kepala berdarah

Emak dukung anak kecil yang menangis, meraung kerana tidak sihat

Pak cik yang berjalan keluar dengan gaya jalan ala-ala macam kaki kanan lebih panjang dari kaki kiri (aku pun tak reti nak cerita bagaimana. kalau aku bawak keluar istilah medik kang mak tak paham <- alasan ).

dan juga berselisih dengan para doktor dengan stetoskop di leher masing-masing,
ada yang senyum
ada yang nampak macam serabut
ada yang nampak buat-buat 'kool'

dan lain-lain

Membuatkan aku yang pagi itu macam malas dan tidak bermaya untuk ke sekolah,
yang mulanya takdak mood nak belajar bersungguh-sungguh,
yang mulanya lupa nak setkan niat yang betul,
Membuatkan aku yang kepenatan dan rasa nak balik rumah tido,
terus rasa macam bersemangat 'balik rumah kena study terus!'

menjadi kepada sedar diri dan memohon ampun banyak-banyak
jangan lah sia-siakan peluang dan hari yang baru untuk beramal
jangan lah buat sesuatu yang engkau akan menyesal pada keesokan harinya.

Malu tengok pokok,
tanah, rumput
langit, awan
malu nak 'berlagak' dengan sungai Nil

p.s: aku terfikir jugak. Orang lain ada ke kuat memerhati dan fikir macam-macam macam aku ni? 



Tutup



Kak Elle kataa

'macam chipsmore. Kejap ada kejap takdak'

tapi rasanya lagi banyak ada berbanding tiada.

Ayu kata

'hai, tuka link ke?'

Haah, haah.

Farah kata

'WoooOoow!'

aku kata : 'Grrrrr....... !'

Ada orang tanya

'kenapa tak join nuffnang? boleh dapat duit..'

Mungkin sebab niat asal nak menulis, bukan sebab nak duit. Lebih kepada terapi diri sendiri.

Apa pun, dah ada balik. tak sampai pun sehari.

ni baru cerita blog. boleh la tuka sesuka hati link bila rasa nak.

Agaknya kalau lah ada setting boleh 'menghilangkan diri' untuk beberapa waktu, agaknya aku pun akan jadi macam chipsmore juga. Kejap ada kejap takda.
Invisible. bila rasa diperlukan sila 'buzz'.

apa pun, ini adalah dunia realiti. Bukannya di alam maya.
Membuat keputusan seharusnya mengikut pertimbangan akal yang waras dan rasional,
bukannya menurut emosi.

Lesson learnt! (konpem kena gelak dengan farah bila dia balik rumah nanti. Farah kan kakak aku kat sini :D)

=================

Patut pun harini rasa mood tak tentu hala. Orang sebelah sana sedang sakit rupanya.

Hari ni cuaca panas, tak tahu nak ibaratkan macam apa. Bahang. Pasang kipas keluar haba. Buka aircond (dalam teksi) pun boleh berpeluh. 37 darjah. Suhu badan.

Apa pun terima kasih budak-budak kecik kerana belanja kakak ni makan sodap amat..

senyum

p.s: tak mampu lagi nak tutup blog.  atau tak tulis blog. Macam orang lain.

p.s lagi : anggaplah blog tadi tak betul kejap sebab tengah gaduh ngn cik miza.. :D
Wednesday, May 25, 2011

Akan Rindu

Don't ask Allah to make life easier, 
but instead ask Him to make you a stronger person
(islamicthinking.tumblr)


Akan rindu masa-masa lapang bila sibuk nanti
Akan rindu masa muda seperti sekarang
Akan rindu masa sihat seperti kini. 

Akan rindu nak duduk di atas tikar sejadah lama-lama selepas solat
Akan rindu untuk bersolat berjemaah dengan teman-teman yang turut punya tujuan yang Satu

Aku selalu terfikir, ruginya kalau tak menghargai 'masa-masa emas' seperti yang aku ada sekarang. 
Mathurat pun tak perlu nak baca laju macam ketapi
boleh zikir panjang-panjang, 
baca Al-Qur'an sampai sejam pun masih mampu. 
Sebab tahu nanti-nanti lagi banyaaaak amanah yang bakal dipikul,
Sehinggakan masa yang ada dirasakan hampir tiada, 
Kerana terlalu banyak kerja dan tanggungjawab

Nikmatnya bila hidup sebagai pelajar. 
Nak tengok sejauh mana masa kita sebagai pelajar ni  berkualiti atau tidak,
kita tengok macam mana kita susun dan isi ia,
dan kita lihat hasilnya di masa depan nanti. 

Wahai engkau pada masa hadapan nanti,
bagaimanalah engkau pada masa hadapan nanti.. 

================

Makin ramai orang datang jenguk sini dan jadi pengikut(follower). 
Rasa down tiba-tiba. 
Bila ramai orang datang baca, sudah tentu mereka mengharapkan sesuatu kan. 
Kesian mereka kalau datang fti ni, tapi tutup tetingkap tanpa dapat apa-apa. 
Buang masa namanya...



maka,  yang menulis ini kena
lebih banyak bermuhasabah,
lebih kerap membaca,
lebih banyak memerhati, berfikir dan menilai

Moga apa yang ditulis ini bukan setakat dari si tukang tulis
Mudah-mudahan dia menulis ini sambil dipandu oleh Tuhannya 

Allah yang Maha Sempurna, 
Tuhan Yang Maha Adil 
Tuhan yang Maha Mengetahui segala isi hati,
Isi langit dan isi bumi..

bukan main-main tulis saja.

Monday, May 23, 2011

Musim Panas, Taaruf dan Warna Campur


Tiga cerita dalam satu entri..


Nil

Musim Panas 

Musim panas datang lagi. Tapi entri ini ditulis bukanlah untuk menggambarkan bagaimanakah keadaan aku di sini ketika musim panas. Masih berguling-guling di lantai kah ketika menanti waktu berbuka puasa
(baca : siang lebih panjang berbanding waktu malam), melekat di dinding kah menjelang waktu tengahari?(melekat pada dinding didapati lebih sejuk berbanding duduk di depan kipas. Kipas siap keluarkan haba panas lagi) atau mati kepanasan? erk.

Sedikit sebanyak (banyak sebenarnya), musim panas ni mengingatkan aku tentang kepanasan yang tiada taranya di padang mahsyar sana.

Tapi musim panas untuk tahun keempat bagi aku kali ini tidak lah panas sepanas2nya seperti tahun-tahun sebelumnya. Walhal ketika ini, tidur pun masih berselimut. Duduk di bawah paip hujan pun tidak lagi 'masih berpeluh' berbanding zaman Fustat dahulu yang mana rasa nak baca buku untuk final exam di bawah paip hujan.

Ini pengalaman aku la. Orang lain mungkin boleh tahan lagi. kut... :)


Imarah 101, Masakin Fustat


Sebenarnya nak tulis yang musim panas kali ni telah membawa beberapa makna dalam diari tahun ini

Khabar satu, pindah rumah. musim panas juga dikenali sebagai musim pindah rumah bagi pelajar-pelajar malaysia, khususnya di kawasan sekitar Sayyeda Zainab,Kaherah. Andai bukan kakak-kakak pun yang pindah, pasti akan ada dengar adik-adik baru yang memerlukan rumah. Nampak gaya, tahun ini, aku akan menyertai mereka dalam aktiviti pindah-pindah rumah.

Boleh la nak kata sekarang fikiran ini bukan setakat serabut dan semput dengan nota-nota forensik, ophthal, ENT dan Community Medicine, malah fikiran ini juga sering disibukkan dengan hal-hal mengenai rumah.
Harga rumah bagaimana, Tuan rumah baik ke tak, Deposit kena bayar berapa dan lain-lain lagi.

Tahun ini, usaha dan tawakkal jauh berlipat kali ganda.
Bukan setakat tawakkal untuk exam semata malah untuk mencari rumah juga.

Rindu Anfaal (tetibe)


Khabar dua. Program untuk belajar di Markaz selama 100 jam. Pasti lah aku tidak termasuk di dalam program ini memandangkan aku akan terus 'cabut' sebaik sahaja usainya peperiksaan nanti.

Khabar Tiga : Menyambut peperiksaan akhir tahun  buat kali keempatnya. Mudah-mudahan persembahan tahun ini jauh jauh jauhhh lebih baik berbanding sebelumnya. 

Khabar empat : Menyambut hari lahir Huda juga masuk dalam tentatif musim panas ini :D


=======================

Taaruf 

Hari tu, main game dengan kakak-kakak dan adik-adik. Ada lah dalam satu game ni, kami diberikan kertas kecik. Kami dikehendaki untuk menulis benda-benda yang kami suka dan yang tidak suka tanpa perlu melabelkan ia. (maknanya tulis terabur je. Tak perlu nyatakan yang ni suka, yang ni tak suka). Juga tidak perlu menulis nama sendiri. Kemudian berikan kepada AJK.

Aku tulis : Durian, Laut, Biru , teddy bear, bunga dan satu lagi aku dah lupa.

Bila saat main teka-teka kertas tu siapa punya, kakak yang conduct game tu bacakan pada satu kertas ni yang bertulis :

Purple, Dress, Europe ...

dan cepat-cepat Ayu angkat tangan kata 'tu Fathy!'

Aku pandang dia, "WHY??'

Takkan lah dress. Sebab Ayu lah yang paling tahu bahawa aku sangat tidak reti bab-bab dress ini.
Purple?

'Sebab fathy nak sangat sangat pergi Europe!'

Ni lah penangannya bilamana setiap hari aku  katakan pada Ayu  'Ayu, nak pegi europe, jom pegi europe ' dan sebagainya sehinggakan Ayu terbawa-bawa perkara ni ketika bermain game

Tapi sekurang-kurangnya bertambah lagi satu benda yang Ayu kenal tentang aku.

'Fathy yang nak sangat pegi europe'

:)

Kesimpulannya, setiap hari, kita mungkin sentiasa bersama, berborak, berkomunikasi dengan teman-teman sekeliling kita. Tapi banyak sebenarnya benda lain yang kita tak tahu tentang dia.
Atau benda-benda baru yang kita baru tahu

Hal-hal mengenai taaruf dan berkenalan ni tak pernah habis kan.
Walaupun dengan kawan baik sendiri :)




======================

Warna Campur 

Sepatutnya, bila banyak warna dicampurkan, akan terhasil lah satu warna yang tidak cantik untuk dipandang. Nampak macam tiada seni, takdak style, buruk dan lain-lain.

Tapi masuk yang hari tu, sudah masuk kali ketiga aku menyaksikan percampuran warna langit ketika waktu maghrib.
Kali pertama ketika perjalanan pulang dari wadi Rum, Jordan menuju ke Irbid
Kali kedua adalah ketika menghadap matahari sambil membaca mathurat  di Bahariya.
Kali ketiga, baru-baru ni. Di dalam bas :) 

Subhanallah. 


Wadi Rum. Credits to Syila :)


Bahariya

Ni tak termasuk lagi pemandangan  langit yang dipenuhi dengan berbillion-billion bintang sambil mendengar cerita dan tazkirah dari kawan-kawan ketika berhenti berehat sewaktu dalam perjalanan mendaki Gunung Sinai .

Dan  juga ketika kami semua menggigil menahan sejuk yang teramat di tengah-tengah padang pasir Bahariya . Masing-masing bersandar, berbaring di bahu dan riba di antara satu sama lain.
Saling memberi motivasi dan memberi peringatan 'Allah sentiasa ada dengan kita '

:')

Sinai dan Bahariya. Sungguh nostalgia.

Dan sangat benarlah. Manisnya iman itu bila kita berukhuwwah.. 


Sunday, May 22, 2011

Hak




Kadang-kadang, kita tak perlu susah-susah nak cari jalan macam mana nak kenal diri sendiri.

Lihat dan perhati sahaja diri engkau

Engkau adalah apa yang engkau baca,

Engkau adalah apa yang engkau tulis,

Engkau adalah apa yang engkau dengar, 

Engkau adalah apa yang engkau tengok,

Engkau adalah apa yang engkau fikir.

Tak perlu susah-susah juga nak mencari kesalahan dan mengutuk orang lain, 

Yang akan menilai, memberi balasan dan ganjaran bukanlah kita.

Tapi bila nampak yang mungkar, kena tegur. Perlu cegah.

Atau kita akan disoal balik di 'sana' nanti.

Kerana tidak bertanggungjawab

kerana tidak peduli

atau kerana katakan tidak mampu padahal sebaliknya

Bukankah seseorang muslim itu punya tanggungjawab terhadap muslim yang lain.

Aku pada hak terhadap engkau

Engkau juga punya hak ke atas aku.


Friday, May 20, 2011

Tapi Jauh





Berblog, tak pernah fikir yang ramai orang akan datang singgah baca. Paling tidak, pembaca-pembaca setia adalah emak, adik, kawan-kawan rapat di Kisas, dan teman-teman akrab di Cairo. Dan juga suami :)
Kak long pun dah tak masuk dalam list.  Sebab dia sudah jadi manusia yang paling sibuk di dunia (kununnya lah)

Takjub. Subhanallah.

Mana lah pernah aku duga orang-orang yang aku tidak pernah kenal dan jumpa, bertemu pun mungkin di dalam mimpi dan doa.  Tapi kesannya sangat membekas di dalam hati. Ingatannya, nasihatnya, sokongan yang tidak pernah putus-putus nya.

Kadang-kadang dapat panggilan jauh merentasi beberapa benua. Contohnya, waktu aku down sikit bila zaman second year dulu. Ks telefon dari Moscow. Hati berbunga tidak tergambar.
Diri rasa termotivasi untuk tempoh yang agak lama.

Contoh kedua waktu nak nikah. Ada seseorang yang istimewa membuat panggilan. Juga dari benua lain.

Waktu tu tengah bersiap di depan cermin, sedang-sedang cakap, tiba-tiba bergenang air mata.
Siap tahan jangan bagi jatuh. Tapi akhirnya jatuh juga lah.

Emak pun kata
'akhirnya kemachoan thia makin lama makin hilang menjelang menjadi suri hidup orang'

Sebenarnya aku rindu pada orang-orang istimewa itu. Tapi jauh. Nak cakap sayang dan rindu depan-depan pun tak pernah. Yang pernah mengadu tersedu sedan di telefon. Haih, rindu nya. Ya Robb, sayangnya pada dia dan mereka.

Rindu tu datang lagi bila baru-baru ni aku ada baca kisah kehidupan Ks di Moscow dulu-dulu.
Dahulu pernah la ada rancang nak bercuti di Moscow tapi tak menjadi. kerana Allah jua sebaik-baik Perancang.

dan Rindu datang berganda -ganda dan menjadi-jadi  bila orang istimewa itu tag aku gamba-gambar jaulah ke Europe.

'thia bila nak datang sini?'

:')


Kenal dan jatuh hati pada si kecil ini sejak dua tahun lepas. Si kecil Leeds :)

Ini kisah Ukhuwah. Allah telah menunjukkan salah satu kekuasaanNya, bahawa manusia itu boleh saling berkasih sayang walaupun dipisahkan jarak dan masa. Walaupun punya perbezaan umur dan kematangannya.

Nota bawah sekali satu : Dah lama dah aku perasan, yang ketentuan dan takdir untuk aku sepanjang 22 tahun ni, orang-orang yang aku sayang semuanya duduk jauh-jauh. Tapi teman-teman cairo ni pun aku sayang sangat-sangat

Sejak akhir-akhir ni, aku kerap juga  ke mana-mana seorang diri. Mungkin lah aku dikatakan boleh hidup seorang-seorang. Tapi kalau balik rumah, aku takkan pernah dapat bertahan kalau tak hidup dengan akhawat.

Tuesday, May 17, 2011

Cantik




Jalan balik dari sekolah. Tercungap-cungap naik tangga ke rumah kauthar yang terletak di tingkat paling atas dalam imarah itu. Masuk rumah, tanggalkan sepatu. Masuk bilik. Nampak dah dia sedang khusyuk' baca buku (baca: bukan buku medik).

Baru nak tanggalkan stokin. Tiba-tiba

'fathy tahu tak?'

'tak...' sepatah

'Kecantikan bagi perempuan cantik ni pun satu amanah tau'

'ok... first time dengar '

'Kalau seseorang perempuan tu tak gunakan , wakafkan kecantikan untuk benda-benda yang Allah suka (jaga aurat, tarik orang supaya orang dengar apa yang kita nak sampaikan etc), kira berdosa lah kan kan '

'Tapi semua yang Allah kasi ni pun amanah. bukan setakat cantik hensem ayu je, tapi pandai, bakat, masa, anggota badan'

dia yang tanya, dia yang jawab. aku pula tolong dengar. dan tolong fikir.
tolong tambah point kalau ada.

tapi aku diam (maknanya takdak point)
kelu, tak terkata.

aku simpan semua benda ni , dan  takkan bagi ia keluar balik dari hati.
kasi hadam, kasi serap. bukan untuk dibuang.
bukan sumbat-sumbat sampai tepu tapi tak amalkan.

'menusuk dan mencucuk sampai tembus tu kinah...kinah baca kat mana?'

'kat sini...' dia tunjuk buku yang dia tengah baca 'Belajar Sabar Dari Manusia Pilihan'

Dengar ayam berkokok waktu petang memecah kesunyian yang sementara, menandakan dah hampir waktu asar. (aku dan dia diam la lepas tu)


--> perempuan. semua cantik pada pandangan aku.

p.s: aku siap dah buat label 'perempuan cantik' kat sebelah. 

Harini, Semalam

 Semalam.

15 Mei. Hari Nakbah. Tahukah anda apa itu hari Nakbah?
"day of the catastrophe"

Marilah kita mengulangkaji balik segala sejarah silam. bukankah Ini Sejarah Kita. 
15 Mei 1948-15 Mei 2011 (63 Tahun kita biarkan Palestin macam itu aje)

Semalam adalah hari bersosial dengan kawan-kawan. Ada orang ajak nak makan-makan sikit.
'Lama tak makan dengan puan kan. Maklumlah, puan kan busy duduk rumah. Ye dak?'

Dalam perjalanan, terserempak lah kami dengan kesesakan di sepanjang jalan menuju ke Mohandesein.
Patut pun, dah nama hari Nakbah. Memang ramai pemuda pemudi Mesir pakat 'turun padang' sambil mengibar-ngibarkan bendera Palestin dan melaungkan agar membebaskan Palestin.
Waktu dalam teksi sambil menghitung masa bila lah nak sampai di destinasi ni, telah berlalu beberapa orang pemuda di seberang jalan.

Pemuda baya-baya kita jugak. Sempoi. Tshirt hitam, tshirt putih, tshirt hijau. pakai spek hitam. Jeans. Nampak je gitu, tapi nah. Di kepala diikat dengan kain pengikat bewarna bendera palestin atau bendera Mesir. Dekat leher tergantung selendang Palestin hitam putih. Dekat tangan pun ada bendera Palestin. Semangat.

Ni lah di antara perubahan yang berlaku semenjak Thaurah (revolusi). Rakyat dah bangkit menentang pihak yang zalim. Menentang pemimpin yang tidak layak dilantik menjadi pemimpin. Ada teman aku bercerita, hari tu waktu beliau dalam perjalanan nak ke kelas Al-Qur'an di Rab'ah, ada lah nampak ramai sangat pemuda beratur dengan beg-beg baju di dataran Tahrir. Rupanya semua pakat sedia nak masuk sempadan Rafah. Cuma belum dapat lampu hijau dari pemimpin Palestin sana.
 Besar sungguh peranan Mesir dalam isu Palestin. Kerana Rafah. 

Ni rupanya hasil dari revolusi 25 Januari yang lalu. Dulu ingat Mesir ni habis lah,  tak ada masa depan dah bila rakyat gulingkan presiden sendiri. Tapi sekarang ni lihatlah fathiyyah Mesir tempat engkau menumpang ni.

Memang nampak dekat banyak tempat yang rakyat Mesir betul-betul memperjuangkan nasib saudara-saudara kita di Palestin. Islam dan Kristian bersatu-padu dalam memartabatkan semula negara Mesir.

Biarlah belum ada presiden pun, rakyat ada yang masih miskin pun, tak ada lagi  bangunan cantik-cantik macam KLCC pun, apa yang penting 'yang dalam' yang batin itu sedang dibina. Semangat untuk menegakkan yang hak itu sedang dipupuk sedikit demi sedikit.

Bandinglah dengan negara kita. Semua ada. bangunan yang tinggi-tinggi, pusat membeli belah, taman-taman bunga, keretapi yang canggih-canggih (baca : bagi aku, ketapi mesia masih tak boleh kalahkan sistem ketapi mesir. murah, laju, on time, pegi mana-mana pun, bayar satu genih sahaja )

Masyarakat kita juga ramai yang mementingkan hiburan dan keseronokan. Pertandingan nyanyi-nyanyi, berlakon merata-rata, pertandingan siapa yang pandai buat lawak pun ada. Kerana apa? Kerana kita pentingkan keseronokan dunia.

Kita juga punya masyarakat yang tidak saling menyayangi sesama insan. Masakan tidak, tengok saja kes-kes jenayah di televisyen. Buang bayi, sumbang mahram, fitnah menfitnah dan banyak lagi. Sampai kita pun  tak tahu nak percaya yang mana. Sampai satu tahap, kita pun mula tak nak ambil kisah. Kita pun tak ada bercita-cita nak mengubah balik semuanya mengikut kehendak Dia. Sebab apa? sebab kita tak peduli pun.



 Selingan. Mochalatta kot namanya. Diorang yang order. 
Aku tolong habiskan je :D
Bulan 7 nanti, genaplah empat tahun aku bermukim di negara Mesir. Kalau ada adik-adik atau mana-mana pak cik atau mak cik yang bertanyakan pendapat aku tentang sama ada nak sambung belajar di Mesir/luar negara atau tidak, aku punya skema jawapan sejak dulu adalah

'pergi lah (meh la datang)  Baru boleh nampak negara kita dari luar macam mana. Baru boleh tengok guna kaca mata yang sebenarnya. Baru boleh menilai yang mana kaca, yang mana permata.  Bina jati diri, belajar untuk hidup berdikari dan bawa balik apa yang dipelajari dari negara orang'

jawapan ni banyak dipengaruhi oleh nasihat cikgu Kimia aku waktu di Kisas dulu (Cikgu Harlina. hu. rindu cikgu) yang aku ingat sampai sekarang. Ingat lagi, cikgu cakap suh kita orang sambung belajar jauh-jauh.

Hidup di negara orang bukan setakat nak bersuka suki dekat tempat-tempat cantik, 
'makan' yang lawa, bersejarah, berprestij saja. 
Bukan setakat nak amik gambar ber Tera Giga. 
Bukan sekadar nak dapat degree atau master PhD dan sebagainya.
Bukan sekadar nanti balik ke tanah air, bercerita dan bagi tahu anak cucu
' Ha, dulu tok belajar kat obersea'. 

Kalau boleh,  kita nak  bawak balik nilai-nilai murni dan penting dari negara tempat kita berkelana selama beberapa waktu, tempat kita 'jatuh sampai terduduk atau mungkin terbaring atau terpelanting atau jatuh sampai tak bangun-bangun'. 

Kita bawa pulang  semua nilai yang baik-baik  untuk diaplikasikan di negara kita. 
Nilai yang tak baik, kita tak bawa bersama.  
Untuk membetulkan mana yang tidak betul. 
Untuk membenarkan yang Haq yang memang jelas ia adalah Haq
dan menidakkan yang Batil yang terang-terang ia adalah Batil.

Yang paling penting, kita nak pastikan negara kita, anak-anak kita nanti diperintah oleh Amir yang sentiasa takutkan Allah (taqwa). Amir yang mentadbir negara mengikut Al-Qur'an dan As Sunnah

Kita mesti lah nak bercita-cita tinggi kan? 

Cita-cita kita bukan setakat nak masuk syurga. 
Target kita tinggi, kita nak syurga Firdaus yang tertinggi di sisi Allah tu.
Kita nak ditempatkan bersama para Anbiya', bersama para kekasihNya



Rupa Universitiku di pada hujung musim bunga



Yang tadi tu catatan untuk semalam. Yang bawah ni catatan untuk hari ni :D

Tadi waktu berjalan keluar dari kelas forensik, aku macam terfikir sesuatu dan tanam  azam baru.
Pertama Nak belajar dan ambil tahu semua nasyid dan lagu-lagu kebangsaan  di Mesir.
Kedua, nak belajar dan cuba buat qasidah arab (ala-ala gurindam dan puisi kot dalam bahasa kita) .
Walaupun lagu-lagu kebangsaan sini macam padat dengan arab amminya, dan lain pula halnya dengan nasyid dan qasidah yang kaya dengan arab fushah, tetap nak belajar.
Kena kena kena  Lagi berapa tahun je lagi nak jadi 'budak mesir' yang belajar medik dekat sini.

Oh ya, lagu di sebelah ni tajuknya 'Bahibbik Ya Biladi '
yang membawa maksud
'Aku mencintaimu wahai tanah airku'. 

Lagu untuk para syuhada' waktu revolusi hari tu . Lain entry aku akan letak lirik dan maksudnya sekali

:)



 Apa pun, terima kasi buat teman-teman yang ajak untuk bersosial semalam. Best lah. Sayang kalian :)



Last but not least, terima kasih buat kekanda kerana mengizinkan dinda memasang (baca : menampal) bendera Palestin ini dekat dinding bilik kita. (Aku beli di tepi jalan semalam. Banyak orang jual bendera Palestin, Arab Saudi Libya dan lain-lain .bersempena hari Nakbah)

Thank you thank you!


==========

tidur kerana migraine. Selama ni tak pernah mengaku yang aku ni ada migraine.
Ayu baru je mengesahkannya tadi.

Memandangkan Migraine dah ucapkan Hai hai.
Maka, marilah ucapkan helo-helo kepada katil
dan bye bye kepada laptop, buku-buku dan meja study.

Selamat awal pagi, Malaya.
Selamat malam, Cairo

Saturday, May 14, 2011

My Team : Perubatan Medical Team





Ajak Ayu dan Iylia untuk pergi temuduga. Hati berbolak-balik juga. Setelah mengambil kira semua aspek, tolak tambah semua masa yang ada, kelas arab, kelas medik, hari mengulangkaji, hari berziarah, dan hari bersosial, baki hari yang ada hanya hari Jumaat. Kalau lah ada hari kelapan dalam seminggu, mungkin tiada lah berpening sangat untuk memilih hari.

Selamat tinggal masa lapang dan masa rehat pada hujung minggu.
Masa ni lah, nak tengok engkau pandai bahagi masa atau tidak.

Aku kira, sangat banyak manfaat yang bakal dapat bila  turut serta dalam 'team' ni.  Tiada lah salahnya untuk cuba-cuba kan. Mana tahu dapat.

Pada hari kejadian, berpergianlah kami ke Arma tanpa sempat membuat persediaan yang rapi. Aku memilih untuk menghadiri sesi pagi. Iylia dan Ayu berkeputusan untuk mendudukinya pada sebelah petang.

Tatkala orang lain yang pergi interview siap hafal segala kandungan misi dan visi medical team dan sebagainya, kami pula pergi 'membawa diri' dengan karakter, sikap dan keyakinan yang mencukupi. (Adalah hafal sikit-sikit)

 Debarnya macam interview JPA pula. Iya lah, kita bersaing untuk mendapat tempat kan. Peluang yang ada, kena lah 'grab' betul-betul. Kang nanti menyesal tidak berkesudahan.

Menghadapi dua sesi temuduga. Individu dan berkumpulan. (memang betul la, ala-ala jpa)
Sengit. Bila tengok siapa yang pergi tu, bila berdepan dengan member-member yang kita kenal turut sama dalam satu kumpulan, rasa inferior pun ada. Semua ada karisma dan kreadibiliti tersendiri.
Sudah lah semuanya excellent students. Prestasi dalam peperiksaan setiap tahun memang mantap-mantap.

Seminggu lepasnya, alhamdulillah nama-nama mereka yang terpilih telah diumumkan. Aku, Iylia dan Ayu diterima masuk sebagai ahli medical team. Yang turut terpilih juga adalah teman-teman dari Azhar University dan Ain Shams University.  Yang lain semua adalah teman sekuliah dan seniors dari Cairo University


The result

Di antara aktiviti yang dijalankan adalah group discussion and presentation, latihan medical check up sempena karnival PWTC, Latihan Vascular Access,dan  menjadi sukarelawan dalam Blood Donation pada hari penutup MeM.

Nah, gambar sepanjang kami beraktiviti sepanjang sesi 2010/2011.


Vascular Access, Heliopolis, Cairo
























Blood Donation, Abbasiyah

Medical team yang sangat membekas di dalam hati sepanjang menjadi pelajar clinical.   Lagi-lagi bila berpeluang untuk kenal dengan lebih rapat kakak-kakak seniors tahun lima Cairo yang telah menjadi qudwah kepada kami. Kak Shae, Kak Pana, Kak Nadiah, Kak Dalili, Kak Dayah, Kak Madihah, Kak Sam dan Kak Lin. Dengan tips study nya, dengan karakter yang sangat peramah, yang sangat suka memberikan nasihat nya dan lain-lain .

Kita belajar bukan sekadar nak dapat result bagus sahaja. Kita belajar supaya nanti kita akan tolong lebih ramai orang. Kamu jangan putus asa ya

Aku dapat terlalu banyak inspirasi dan semangat daripada mereka untuk meneruskan pengajian perubatan yang berbaki dua tahun lebih ni.

Tidak dilupakan kepada teman-teman sebaya dan ada yang berlainan universiti.  Khai, Azyan, Kak Yati, Zac, Fana, Kak Husna, Kak Yati ,Ulya, Iman, Iylia dan Ayu yang semuanya sempoi, cool, periang,bersungguh-sungguh dan serius dalam membuat tugasan masing-masing pada setiap minggu.

Juga buat seniors dan teman-teman seperjuangan  ikhwah, terima kasih di atas segala tunjuk ajar, perkongsian dan segalanya sepanjang kita bekerja tahun ini.

Mudah-mudahan kami mampu memberikan sumbangan yang terbaik  kepada masyarakat secara amnya.

Moga wasilah ini atau apa-apa pun, ia  mampu menolak kita agar lebih gigih dan berusaha dalam menjadi orang yang mahir dan serba tahu dalam bidangnya. Bukankah pemimpin-pemimpin Islam dan para duat  terdahulu telah membuktikan bahawa untuk menegakkan Ad Din di muka bumi ini, dia juga sepatutnya menguasai bidang yang diceburinya.

Selamat maju jaya semua dalam peperiksaan akhir tahun.

Jumpa lagi dalam sesi tahun hadapan, Insya Allah




p.s:  Our collections adalah salah satu usaha kami untuk menyumbangkan sesuatu sepanjang menjadi pelajar perubatan di mesir.

p.s lagi : Di antara muwasofat tarbiyyah adalah sangat menjaga masa, memberi manfaat kepada orang lain, luas pengetahuan dan tersusun urusannya. Mungkin belum mampu dan belum betul-betul 'menggabungkan diri' dengan muwasofat yang disebutkan, tapi insya Allah akan terus memperbaiki dan memantapkan diri.
Demi Ummah, demi Ad Din

Wednesday, May 11, 2011

Pure



Kalau lah bila nak menulis,

bila nak menyampaikan dan menegur

kalau lah betul ia membutuhkan dan memerlukan

hati yang betul-betul suci, murni,

hati yang betul, lurus,

yang ampuh dan kukuh

yang dipandu oleh Tuhan manusia

yang tawakkal dan pengharapan seluruh kepadaNya 

andai begitu lah,

agaknya aku lah orang yang pertama akan 'pencen',

tarik diri, menyerah kalah, dan berundur dari medan.

aku lah yang pertama akan mengangkat bendera putih

nak break, nak cutiii

yang selalu je rasa nak quit! dalam semua benda.

Sama ada benda yang kita suka,

ataupun benda yang kita selalu berpenat.


Tapi selalu lupa yang Dia ada dan selalu tengok

Yang Maha Dengar, walaupun kita tak cakap atau mengadu

Yang Maha Tahu setiap titik air mata yang jatuh,

Yang Maha Adil dalam menilai setiap niat dan lintasan hati



"nak hati baru, nak jaga elok-elok, kena pegang kemas-kemas "

hati yang pure . tapi rasa keterlaluan nya. dah ada dah hati, tapi nak yang baru pulak.
macam tak bersyukur. 

"nasib baik Allah bagi satu je hati..ni pun dah payah nk jaga"


Rindu


Rindu nak berpantun
rindu nak  berpuisi

menagih masa lapang untuk bersendirian
menanti ilham dari langit
sambil menyaksikan indahnya bulan dan bintang
di  bawah lembayung sinar mentari
disapa lembut pawana mencengkam

ku menanti petunjuk
demi menitip kalam
demi kepuasan jiwa 

Ada orang kata, orang yang berpuisi-puisi ni orangnya suka berjiwa dan ber'hati'
manakala ciri-ciri orang yang berpantun adalah orang yang sangat dekat dengan alam,
lemah lembut
gaya bahasa ada ciri-ciri kesantunannya

Banyak menemui puisi dan pantun yang menusuk sampai ke lubuk hati.
Tapi tetap ayat dan 'puisi' terindah sumbernya adalah dari kalam Dia.
yang menyejuk dan memujuk
yang menghiburkan dan membahagiakan

p.s: jangan terkejut kalau tiba-tiba tengok ada entri baru lagi lepas ni :)

forensik


Salah satu benda yang paling unik yang aku pernah jumpa sebagai salah seorang budak medik.

'Sarung stetoskop' khas untuk doktor pakar kanak-kanak. Cool .. Boleh lah nak fikir-fikir pasal ni walaupun lambat lagi nak jadi pakar kanak-kanak.

Exam forensik yang tak terjangka 'oh begitu rupanya soalan dari Dr Dina'

apa tidaknya, kita expect doktor akan bagi soalan yang perlukan jawapan berjela-jela atau berperenggan-perenggan. tapi tidak. Forensik ni memang lain.

ada soalan yang dia nak jawapannya dua perkataan atau lebih. atau dengan kata mudahnya jawapan dalam buku ianya terletak bahagian bawaaah sekali dalam satu-satu mukasurat. Yang bertanda N.B (note below).

spesifiknya doktor. Sampai macam tu sekali. Hampir terlupa pesanan-pesanan dari senior yang Dr Dina suka tanya soalan yang uncommon.

hu. alamat lepas ni dah kena praktis baca buku forensik dari kulit ke kulit. Erk, maksud aku. isi kulit buku pun kena hafal? maknanya nama-nama doktor pun lah kan :)

tulis ni bukan nak merungut. Tapi nak memberi iktibar. pengajaran sebelum final exam

:)

======

belajar belajar. dah tak ada masa dah..

======

hujung minggu ni, rasa nak 'lari' pergi tengok laut. Alexandria jom! (andai dizinkan oleh pihak yang berwajib :) )


Friday, May 6, 2011

Apa Kata Bintang







Waktu berjalan-jalan tepi pantai dengan emak, adik-adik aku tiba-tiba panggil ajak main baling selipar. Anggap lah ni kali terakhir dapat main dengan dia orang. Lagi-lagi waktu tu Hafiz dah nak kena hantar masuk asrama.

Aku beri kamera pada emak, sambil kenyit-kenyitkan  mata.

Emak geleng kepala. Terkejut tengok  aku dan adik yang nak jugak main sama .

Kami main baling selipar sampai 'tak ingat dunia' . Lari sana sini. Mentang-mentang tak ada orang dekat kawasan situ. Semput. Tak larat nak tahan gelak.

Raja main baling selipar sudah tentu Hafiz. Gaya atlit sungguh. Manakala Raja 'suka main kelentong' jatuh kepada Zaim :)

Tengok lah gambar-gambar yang emak ambil. Aku pasti, waktu tu kalau mata mak tak bergenang dengan air mata sekalipun, dalam hati emak mesti sebak sangat,  kan .


:')

We love you , mak.  sangat-sangat.

"Rabbirhamhuma kamaa rabbayaani soghiira"

p.s: Apa Kata Bintang oleh Gita Gutawa. Lagu di sebelah. Untuk emak :)

edited : ym kak long. harini, kitorang ada janji sumthing. harap terlaksana nanti. , haih, rindu kak long pula



First Impression




Tak pernah terfikir. Waktu main game pun, boleh dapat something sebagai peringatan untuk diri sendiri.

Salah satu pengajaran waktu main game hari tu, tentang betapa pentingnya first impression orang terhadap kita. Kalau dulu, memang risau lah apa yang orang lain fikir tentang kita. Bagus ke tak? memberansangkan atau sebaliknya? Kadang-kadang tak boleh nak tidur sebab dok pikir ada ke tak orang yang tak suka kita.

Tapi betul lah, nak meningkat jadi orang besar ni, gaya fikir pun dah lain sikit. Sekarang tidak lah fikir macam tu dah. Sekarang kena fikir macam mana nak didik dan bentuk diri sendiri, supaya first impression orang terhadap kita tu benda-benda yang best.

kena lah persiapkan diri kan. jadi orang yang mudah didekati. Jadi pengemas (tidak selekeh), yang mudah senyum, pandai bergurau dan mengambil hati, menunjukkan contoh yang baik, yang menjaga tutur katanya.

First impression yang mungkin ada benar, mungkin ada yang tidak. Betul lah 'don't judge a book by its cover'. Tapi bila fikir balik, kita kena jugak kata pada diri sendiri 'judge a book by its cover' kena jugak. Sebab yang luar akan memberi gambaran kepada yang dalam. Mungkin bukan dalam semua aspek. Sesetengah benda je .

 kena guna jugak first impression orang terhadap kita ni betul-betul. Nak jadi orang yang 'approachable'. Supaya senang untuk orang menerima bila kita mula bercakap tentang perkara-perkara yang mendekatkan kita dengan Dia.

kita semua kan nak ajak orang supaya kembali kepada Dia. kita semua kan bercita-cita nak menjadi salah seorang dari penyokong dan pendokong dakwah ini.

Kalau bukan kita yang memberikan dan menunjukkan gambaran yang indah tentang islam, siapa lagi?

Gaya tulis blog, susun atur  dalam blog, warna latar belakang, warna tulisan.

Pakaian tutup sempurna atau tidak
rupa luaran,
rupa dalaman
pemikiran, percakapan, perangai.

Biarlah semuanya di dalam sibghah Allah, di dalam celupan Allah.
Dicorakkan dan diwarnai dengan warna-warna Allah.

Biarlah nampak biasa-biasa sahaja pada pandangan orang,
tapi bila dipandang dengan pandangan Allah, kita adalah hamba yang luar biasa.

=====================

Kenapa selalu rasa nak inferior dengan manusia?
cuba inferior pada burung ynag berkicau pada setiap pagi yang tak berhenti dari zikir,
cuba inferior dengan ikan di dalam laut,
yang waktu berenang-renang tu, tak putus dari memuji-muji Allah 
inferior sebab selalu lupa nak mohon ampun dari Allah
rendah diri sebab jarang bertasbih memuji Allah


Wednesday, May 4, 2011

Kelas Arab


Jadual kelas Arab bertukar lagi. Semua kelas petang dibawa ke sebelah pagi. Semua tak sanggup nak berkejar berlari ke markaz arabi bagi menelaah pelajaran arab pada sebelah petang lepas kelas forensik. Petang musim panas begini lebih enak untuk study forensik kata kami.

Ustazah geleng kepala sahaja. Ustazah lagi lah kata 'no hal'. Ustazah lagi suka senanya.  Pagi-pagi jam 730 dah siap tunggu kami berempat untuk 'mengetuk' kami dalam hal-hal yang patut. Pagi-pagi dah kena praktis lidah berbahasa fushah, pagi-pagi kena betulkan makhraj. Kasi betul sikit huruf tu keluar dari tempat yang sepatutnya,
Tiada lagi dah taram-taram. Ni baru ustazah, belum lagi kena test dengan ustaz di kelas sebelah. fuh.

Senanya risau ni. Cuti summer nanti, member-member kelas arab aku pakat nak balik mesia bila dah nak dekat-dekat raya. Sudah tentu lah aku nanti lepas exam final terus 'cabut' balik malaysia. Ustazah siap cerita dah apa program dan pelan untuk mereka bertiga. Kelas arabnya, kelas hafal AQ nya, kelas tajwid nya, kelas fiqh seerah nya. pelan belajar di markaz untuk 100 jam.

Mengancam tu. Erk,  stress dan tensen bila dengar.

Ada beritahu ustazah. Kata aku, dengkinya saya dengan mereka bertiga. Ustazah senyum.

'tak ada masalah. Awak pun akan belajar dengan ustazah. Kita guna internet'

:D

lega bila dengar. Tapi jihad bila berada di malaysia nanti, lain pula ceritanya. 

=======================



Jam 940 pagi adalah waktu kami bertiga berjalan laju menuju ke universiti. Sebab kelas mula jam 10. Kalau nak duduk belakang dalam kelas, boleh lah berlenggang kangkung. Tapi semua nak bersaing sesama sendiri. Siapa cepat, dia sampai dulu!

Aku berjalan beriring dengan Husna. Ayu dan Em di belakang. Bila ber partner macam ni, Husna mesti ajak aku untuk berbahasa arab dengan dia. Senanya dia mengingatkan aku apa janji kami dengan ustazah. Kena selalu cakap arab dalam perbualan harian. Sekurang-kurangnya 15 minit sehari.  Ada banyak lagi senanya. Janji nak baca buku arab 20 minit sehari. Baca kuat-kuat. Kasi telinga dengar apa yang kita baca.
Baru lidah kemas dan mantap bila bercakap dengan ustazah.

Ustazah selalu pesan, bila berjanji, kamu senanya sedang berjanji dengan Allah.
Allah sedang lihat sama ada kamu amanah ke tak. Hu

Aku kata pada Husna, suatu hari nanti sebelum balik malaysia for good, aku bercita-cita nak tulis satu Qasida (lyric poetry)  untuk mesir dan segala isinya. Ok la, bukan satu. banyak-banyak pun lagi bagus. Nak la bawak balik kenangan dari sini selain daripada gambar etc.

Banyak lagi senanya target. Belajar nahu dan sebagainya. Nak capai sampai tahap tu, kena lah pulun awal-awal kan?

(Semangat sebab baru lepas dengar qasida dari seorang pemuda untuk mesir selepas revolusi hari tu. Ustazah suruh dengar sebelum balik )

Target dalam medik pun ada. Banyak sangat dalam senarai nya. Rasa macam masa tak cukup je. Sempat ke lagi dua tahun nak dapatkan semua benda ni?

Senanya dalam apa-apa benda yang kita buat, kita kena sungguh-sungguh dan mujahadah kan. Hatta nak basuh pinggan dan gosok baju. Semua kena ber ihsan. Insya Allah, kheir.


===================



hidup untuk berlapang atau bersibuk,
hidup untuk bersusah atau bersenang
kita yang tentukan.
bersibuk dengan apa,
berlapang pula kenapa.

Sibuk,
bermanfaat untuk diri engkau dan diri orang lain atau tidak?

Hidup sebagai muslim, tiada pilihan
nak jadi muslim, jadi lah yang betul-betul muslim
mengamalkan islam secara keseluruhan, islam yang kaffah,
bukan separuh-separuh, bukan amik yang juzu'-juzu' tertentu sahaja.
Kalau nak tutup aurat, tutup sepenuhnya.
Jaga betul-betul.
Yang nipis, yang jarang,
yang ketat, yang tak sedap hati orang tengok.
tinggal lah.

Buat sikit-sikit. Tapi berterusan
Jangan buat banyak dan mendadak, tapi tergantung di tengah-tengah jalan

kalau kata nak tinggal semua benda-benda yang tak best,
tinggal betul-betul
tinggal semuanya.
jangan rasa ragu-ragu dah. 
Hijrah
Jangan pandang belakang dah.

Nanti kang, kalau engkau nak tinggalkan sikit-sikit je,
bila engkau nak bergerak ke depan,
lama-lama engkau jadi tak larat,
nak berjalan pun engkau cepat penat,
apatah lagi bila engkau nak berlari.
Sebab engkau bawak sekali 'beban' dekat belakang engkau,
semua benda yang engkau sayangkan tu.

kalau Allah kata 'masuk lah kamu ke dalam syurga'
bermakna akan masuk betul-betul ke dalam nya.
Betul-betul tinggal di dalamnya 
tak ada Allah kata, duduk di pinggir syurga.
tak ada Allah kata,  tinggal di pintu syurga.

sama ada syurga, atau neraka.
Betul tiada pilihan.
Tapi lainlah kalau engkau pilih untuk ambil jalan yang fasad
yang merosakkan,
yang merugikan. 

Aim untuk kejar akhirat,
bukan setakat akhirat, dunia juga engkau dapat.


p.s: Aku macam perasan dalam blog ni, dah banyak entri yang cerita tentang kelas arab. Sebab tahun ni, aku rasa kelas arab betul-betul memberikan kesan dalam hidup aku.

senanya mula-mula tadi nak tulis tentang 'first impression'. Tapi lain kali lah kut :)

Gambar atas menunjukkan bahawa aku rindu nak main basketball dan netball. ia tiada kaitan dengan entri



Sunday, May 1, 2011

Mahal


Nak jadi seperti bunga mawar. Pada tangkai. Punya daun yang ada lagi duri-duri.
Bunga mawar, milik Tuan nya. Disimpan, ditutup dengan rapi di dalam balang.
Balang kaca. Berkhidmat sebagai pelindung kepada mawar.
Nak pegang, takut. Takut pecah.
Nak sentuh, takut . Takut dapat luka. Sebab ada duri.

Nak jadi seperti mawar berduri di dalam balang kaca.
dijaga penuh oleh Tuannya.

===========================

Sebelum tidur, aku ditemani oleh perempuan-perempuan cantik. Sebelum tutup mata, sejuk memandang dia dan dia. Seorang tidur dengan Al-Qur'an. Tak lekang dengan Al-Qur'an . Kerja dia selain belajar medik, menghafal Al-Qur'an sahaja. No wonder, dia jarang marah, senang senyum kepada teman-temannya.
Jarang nampak stress. tidak pernah merajuk (kot)

Kesimpulannya. hati dia memang dijaga oleh Tuannya. Sebab jadi rakan baik kalamNya, masakan dia tidak dijaga dengan terbaik oleh Tuannya

Perempuan cantik yang sorang lagi pun sama. Baring di sebelah aku. Mulut terkumat kamit dengan hafalan Al-Qur'an. Sampai tertidur! Sebab esok ada ujian 'maut' katanya. Hai perempuan cantik. Sudah la muda lagi, punya fikiran dan hati yang bersih.

Geleng-geleng kepala tengok perempuan-perempuan cantik ni. Sambil senyum-senyum.
Sungguh beruntung lah orang yang bakal memiliki hati-hati mereka.

Yang bernama suami. Bakal suami yang sudah tentu aim cinta Allah itu sebagai nombor satu dulu.
Yang dah persiapkan diri untuk menjadi ketua keluarga yang soleh,
yang bercita-cita untuk melahirkan zuriat yang musleh dalam meneruskan tugas-tugas yang bakal ditinggalkan.
Yang tak pernah tinggal istikharah pada setiap malam, supaya dipertemukan jodoh yang baik
Yang meletakkan tawakkal, pergantungan dan penyerahan sepenuhnya kepada Allah.

(wah wah, seronoknya aku menaip untuk orang lain. hehe)

Cantik seorang perempuan dari segi luaran mahupun dalaman. Tapi aku pasti, kita lebih menitikberatkan cantik yang dalaman. Sebab yang dalam akan menyerlahkan yang luar.
Bila yang dalam itu dekat dengan Allah, mestilah Allah akan cantikkan ia pada pandangan orang.

Kalaulah tak cantik pun, sedap mata memandang pun apa kurangnya, bukan


==================


Jual mahal itu perlu supaya kita tahu setakat mana kesungguhan si pembeli
cikmerahjambu :)

Mahal itu mesti. Untuk seorang perempuan.

Pernah dibacakan kitab kepadaku oleh seorang ibu,
tentang persoalan yang baru aku tahu,

bahawa seorang perempuan itu sememangnya ada hak,
hak dalam memilih jodoh .
Memilih bakal suami yang soleh.
Memilih lelaki yang layak untuk menjadi bapa, abi dan abah  kepada zuriatnya.

Jadilah mahal. Carilah jalan untuk menjadi 'mahal'.
 Apa-apa jalan pun

Menjadi yang berharga.
Yang susah untuk dimiliki.
Yang bukan senang-senang untuk didapati.

'Qurratu a'yun'
dan sebaik-baik perhiasan di dunia, adalah dan hanyalah wanita yang solehah
 

Template by Web Hosting Reviews