Monday, May 31, 2010

Harap-harap sampai










Di saat facebook asek lembap (sebab klik untuk update)

di saat twitter setiap saat ada 20 new tweets

di saat GONG CHAN asek 'hang' bila t tuan dia memerlukan berita dari Flotilla

harap-harapnya doa kita disahut terus oleh Pencipta kita
harap-harap doa kita sampai terus untuk pak cik-pak cik, sahabat-sahabat, baik satu aqidah mahupun tidak,
harap-harap doa kita tak ada kena 'block' dekat mana2 'simpang'
harap-harap kita mampu menyumbang untuk mereka walaupun mungkin hanya doa yang kita mampu kirimkan

harap-harap doa kita ini benar-benar ikhlas dan IKHLAS itu hanya Dia sahaja yang tahu.

Doa itu senjata orang mukmin, hanya mukmin yang benar-benar yakin dengan kuasaNya akan menganggap doa itu senjata mereka . yang lain tidak

moga kita tidak tergolong dalam golongan Munafiquun(nauzubillah)

p.s: At least 20 killed in Israeli attack on Gaza aid convoy (# flotilla, update from twitter)




Saturday, May 29, 2010

Hero




Bila cakap-cakap tentang hero, ramai watak bermain di dalam kepala.

Tapi untuk aku, hero yang paling hebat sepanjang zaman, adalah hero-hero dalam perang-perang di zaman Rasulullah s.a.w

dan hero dalam Perang Uhud, adalah Talhah bin Ubaidillah


nanti sambung, perlu tunaikan hak Microb dahulu

:)




Thursday, May 27, 2010

Baiknyaaaa...



Salam warahmatullah

Just a quick post insya Allah. kalau tak post entry ni tak rasa boleh nak sambung study microb.
dan sejak baca benda ni semalam, rasa tak boleh nak tido :D

Muhammad s.a.w, Kekasih Allah telah bersabda



"Allah berfirman
' Jika hambaKu berniat untuk melakukan suatu amal keburukan,
maka janganlah kalian (para malaikat) mencatat kesalahannya
hingga dia mengerjakannya
Jika dia telah melakukannya, tulislah semisal perbuatannya.
Dan jika dia meninggalkannya kerana (takut kepadaKu),
maka tulislah baginya satu kebaikan

Dan jika hambaKu berniat melakukan suatu amal kebaikan,
namun belum dikerjakannya,
maka tulislah baginya 1 kebaikan
Adapun jika ia telah melakukannya,
maka tulislah baginya 10 kali kebaikan semisalnya,
sehingga 700 kali lipat ' "

HR Al Bukhari


Baiknyaaaa Allah! Baiknya baiknyaaaaaa
erk, tapi kita liat-liat lagi nak buat benda baik.
atau mungkin nak pasang niat pun tak sudi.
Ya Rabb!

Bila kita lihat seseorang itu baik hati, penyayang, sopan santun,
kita selalu lupa ada Allah Yang Maha Baik Hati, Maha Penyayang, Maha Penyantun
Kita memuji-muji manusia yang berakhlak sebegitu rupa,
tetapi kita lupa dari mana manusia tu datang.
kita lupa yang baik-baik itu dari Allah
kita lupa untuk puji Dia dahulu melebihi yang lain

Bila kita lihat ciptaan-ciptaan hebat dan dahsyat2, kita lupa nak tadabbur alam
Kita lupa penciptaan alam, penciptaan manusia dan makhluk-makhluk Allah baik yang sebesar gunung ganang mahupun sekecil kuman itu jauh lebih lebih hebat,
jauh lebih dahsyat, jauh lebih agung dan jauh tiada tandingan

kita puji dan memuja manusia, sedangkan manusia akan mati
kita lupa untuk menyembah Allah dengan penuh rendah diri
tunduk dan taat kepada Allah yang tidak akan mati dan hidup kekal abadi

kita mengalunkan irama-irama yang belum tentu menambahkan iman
tapi kita lupa untuk bertasbih memuji Tuhan yang tidak pernah berjauhan

kita tahu Allah tu Maha Baik, Allah sentiasa bagi peluang
untuk kita bertaubat sampai akhirat,
dan kita tahu bila kita buat amal banyak-banyak, jihad sungguh-sungguh,
kita akan diberi ganjaran yang sangat best

Tapi kita lupa
kita malas
kita sombong
kita bongkak
kita angkuh
kita perasan bagus
kita perasan baik

engkau siapa, wahai manusia?

tidak pernah kah engkau terfikir engkau hanyalah hamba
dan tak mustahil juga engkau tidak pernah terfikir langsung untuk apa engkau diciptakan,
langsung tak mustahil

Ya Allah, ampunkanlah kami..
Wednesday, May 26, 2010

Kisah aku dan BM







Ingin berjalan meneruskan rutin biasa dari sekolah perubatan .
Tetapi hari ini agendanya berlainan sedikit. Melintasi setiap hari jambatan merentasi sungai terpanjang di dunia. Memandangnya dengan sayu, mengenangkan bumi yang aku berpijak ini adalah bumi yang turut dipijak oleh Musa dan saudaranya Harun yang hidup mereka dilimpahkan dengan seribu kerahmatan .

Aku memandang ke hadapan, sampai satu simpang dipaksa menoleh ke kiri dan ke kanan untuk memastikan keadaan sudah benar-benar selamat untuk melintas.

Kadang-kadang melintas terus setelah otak mentafsirkan bahawa kereta di sebelah kirimu tidak lah begitu laju, maka selamat untuk engkau melintas ke seberang sana tanpa rasa bimbang. Cumanya langkahan engkau itu perlu laju sedikit, sekadar menyedapkan hati sendiri bahawa engkau tidak lah melenggang kangkung.

Langkahanku petang itu ke bangunan merah itu. Bingit telinga dengan bunyi ambulans sudah menjadi seperti 'alah bisa tegal biasa'. Kadang-kadang jika study tengah-tengah malam buta (biasanya di rumah kak ellya ) pun masih bertemankan bunyi ambulans, yang seperti tidak tentu arah meluru masuk ke dalam bangunan merah itu. Betapa bangunan itu tidak pernah lekang daripada menerima tetamu-tetamu yang mengalami macam-macam sakit.

Kakiku melangkah masuk ke dalam bangunan merah. Suasana yang di luar ceria, bertukar menjadi suram. Serta merta mood aku petang itu yang mula-mula agak penat berubah menjadi lebih penat dan 'tension'

Masa itu keadaan tenang, tidak sibuk sangat macam yang aku selalu tonton di televisyen atau yang aku selalu bayangkan seperti dalam novel-novel medik. Mungkin kerana waktu itu adalah siang, bukan waktu kritikal, mungkin juga kerana bangunan itu adalah bukan hospital kerajaan sepenuhnya (separuh swasta) seperti yang aku lihat di HKL. Macam-macam kemungkinan.

aku ambil lif untuk ke atas. Mula-mula pintu lif hampir-hampir mahu tutup, dan tiba-tiba ada tangan seorang lelaki menahan pintu lif tersebut menandakan bahawa dia juga mahu menaiki lif yang sama. Lihat pada name tag nya bertulis 'Dr ..... ' . Gaya macam baru keluar dari OT, dengan pakaiannya, dengan kasutnya.

Aku menilik wajahnya yang agak kepenatan tetapi dia kelihatan sibuk meneliti data pesakit di tangannya (Dasat juga ya aku menilik manusia :D )

Sudah sampai ke aras yang aku mahu tuju, aku keluar dan mencari-cari bilik pesakit. dan akhirnya jumpa. Menyapa kawan-kawan dan bertanyakan khabar masing-masing. Si pesakit sedang tidur lagi, mungkin kesan ubat bius yang diberikan. Manakala rakan-rakan lain aku suruh pulang, dan biarkan aku menjaga dia. Lalu aku tinggal dengan pesakit kecil ini :)

Oh, aku tidak bersendirian sebenarnya, malah di sebelah kami punya keluarga prihatin yang menemani seorang ibu tua. Mereka sangat baik hati, menanyakan tentang latar belakang diriku dan tidak henti-henti mengucapkan 'Enti min Malizia? Ahsan Nas!'

Dan bila mereka memerhatikan aku seperti malu-malu untuk meneruskan perbualan dengan mereka (malu-malu kucing :D), mereka menyuruhku berehat-rehat sementara mereka meneruskan perbualan sesama mereka.

Dapat juga aku menangkap beberapa ayat dari seorang pak cik dari keluarga tersebut yang tidak putus-putus memuji Allah dengan mengucapkan 'Subhanallah' beberapa kali. Aku mengagak bahawa pak cik itu seperti memberi tazkirah kepada ahli keluarganya (ada dua orang mak cik yang lain)


Pandai sungguh fathiyyah. Lusa ada exam praktikal parasit, tetapi boleh lupa bawa sekali buku parasit untuk dibaca sambil-sambil menantikan dia bangun dari jaga. fathiyyah sudah mula kebosanan nampaknya. Aku intai jendela di sebelah sana, memerhati matahari sedang terbenam di ufuk barat. Sudah nak masuk waktu maghrib. Dan aku akhirnya lelap tanpa sedar, meletakkan kepala di sisi katil tempat pembaringan dia.

==============

ini kisah aku dan bangunan merah
dan cerita ini telah diubah suai 0.1% :D

bm untuk bangunan merah bukan (dot dot dot ) :D


Monday, May 24, 2010

Ikan, Laron dan Semut






Aku senang, aku senang
Tapi bingung, aku bingung
Aku senang, aku senang

Tapi heran, aku heran..


Dan aku pun bertanya
semua ikan di kolam
Tiadakah kau bosan, disitu...

Dan diapun menjawab,tiada bosan
Walau berada di tempat sekecil ini

Karena ku di sini, setiap hari, bersama Tuhanku

Dan akupun bertanya..
Pada laron-laron berterbangan
Kenapa kau hidup semalam...

Dan ia pun menjawab,Tiada tersiap..
Walau hanya semalam aku hidup di dunia

Karna dalam semalam.. aku hidup, ku sebut Tuhanku...

Dan akupun bertanya..
Pada semut-semut di sarangnya..

Tidakkah kau merasa lelah bekerja...

Dan dia pun menjawab, Tiada lelah..
Walau sepanjang hidup aku terus bekerja,

Karna setiap saat dalam bekerja, bersama Tuhanku..


Dan ikan pun menjawab,tiada bosan

Walau berada di tempat sekecil ini

Karena ku di sini, setiap hari, bersama Tuhanku


Dan laron pun menjawab,Tiada tersiap..
Walau hanya semalam aku hidup di dunia

Karna dalam semalam,aku hidup, Ku sebut Tuhanku...

Dan semut pun menjawab, Tiada lelah..

Walau sepanjang hidup aku terus bekerja,

Karna setiap saat, dalam bekerja, bersama Tuhanku..

Dan aku bertanya, pada jiwaku
Sejauh apa...hidup tanpa Tuhanmu

Dan aku bertanya, pada hatiku
Sedalam (selama) apa...hidup tanpa Tuhanmu


Dan aku bertanya, pada diriku Sekeras apa...
kerja tanpa Tuhanmu

Aku malu dengan ikan, laron dan semut...
aku bertanya pada jiwaku, hatiku, dan diriku....

by FATIH





Bisikan


Firman Allah dalam KalamNya yang agung ,


'Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu:
"Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu
dengan janji yang benar
dan aku telah menjanjikan kamu
lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu;

dan tiadalah bagiku sebarang alasan
dan kuasa mempengaruhi kamu
selain daripada aku telah mengajak kamu
lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu;

maka janganlah kamu salahkan daku
tetapi salahkan diri kamu sendiri.
Aku tidak dapat menyelamatkan kamu
dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku.

Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufur
ingkarkan (perintah Tuhan) yang kamu sekutukan daku denganNya".
Sesungguhnya orang-orang yang zalim
(yang meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya)
beroleh azab yang tidak terperi sakitnya '

(Ibrahim:22)



Di saat aku hampir-hampir menuju keredhaan kerahmatan dariNya
dan kebahagiaan milikNya
Bisikan itu tidak akan pernah berhenti untuk membisikkan
memujuk rayu seketul daging yang bernama hati,

Di saat menghampiri detik-detik yang ditunggu
bisikan itu tidak akan pernah berhenti
dari menghasut agar aku semakin jauh daripada jalan Tuhanku
dan semakin dekat dengan jalan kemaksiatan

Jika dahulu bisikan itu mengatakan pada aku
'teruskan apa yang kau buat.Tak apa tak apa'

tetapi sekarang, terasa jelas ia mula membisikkan aku
'jangan teruskan apa yang kau sedang tuju sekarang.
Ia susah, kelak akan bawa kemudaratan pada diri engkau'

Namun, yang menentukan arah tujuan hidupku,
bukanlah suara yang membisikkan itu
tetapi aku

yang patut disalahkan andai aku dicampak ke neraka itu
bukanlah suara yang tidak pernah berhenti dari membisik dan menghasut itu
tetapi aku

dan yang meletakkan aku dengan kedudukan tinggi di sisi Tuhanku itu
bukan lagi bisikan yang dipandu oleh hawa yang telah dipujuk rayu
tetapi pakaian takwa yang membaluti diri

Allah, aku sangat takut akan siksaanMu,
Allah, bimbing lah jiwa aku agar menjadi jiwa 'mutmainnah'
Allah, tunjukkanlah yang terbaik walaupun aku tidak suka

Allah, peliharalah hubungan kami, agar dapat menggapai redhaMu
jauhkan kami dari jalan yang mendatangkan kemurkaanMu

Allah Allah



Sunday, May 23, 2010

Baru



Cat baru.


dulu pernah kata nak tuka bila tibanya julai, tapi pertengahan mei dah tuka.

tiru ayu. lagi :D

Saturday, May 22, 2010

Kasih



Terkedu bila mendengar sahabat sebulatanku bertanyakan soalan itu kepada murabbi kami. Betapa tidak pernah terlintas di benak kepala untuk bertanyakan soalan sedemikian rupa. Langsung-langsung tidak pernah.


"Ustaz, macam mana kita nak tahu Allah itu sayang kita ke tak?"

dan murabbiku memberi balasan kepada soalannya dengan ayat dari surah ke 9 ayat 24

Katakanlah (wahai Muhammad):
"Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu,
dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu,
dan kaum keluarga kamu,
dan harta benda yang kamu usahakan,
dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot,
dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, -
(jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai
lebih daripada Allah dan RasulNya
dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya,
maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya);
kerana Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasik (derhaka).

(At Taubah : 24)



dan tadi dia meluahkan kepadaku

"rasa diri ni dah banyak buat dosa, tapi macam-macam Allah bagi. Adakah Allah beri kesenangan, kejayaan dalam exam tu adalah di antara petanda Dia kasihkan kita? atau ia sebenarnya adalah ujian untuk menguji apakah kita ni hamba Dia yang benar-benar bersyukur? ? "

Wallahua'lam betapa aku terkedu dan mulai detik ini aku mula berfikir setiap bait perkataannya

Kasihkah Allah pada aku?



Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga
padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad
(yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu,
dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar
(tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?

(Ali Imraan : 142)


===============


terima kasih semua kerana menceriakan hidup kami selama tiga hari ini.
terima kasih Allah kerana mempertemukan kami, mempertautkan ikatan yang bernama ukhuwwah di antara kami.

p.s : . mahu promote ummaunited
Friday, May 21, 2010

Hidayah



Salam warahmatullah

Belum tidur, padahal sudah pukul 2 pagi.

Benar sungguh kata Ayu, musim exam adalau salah satu musim yang membuatkan aku makin 'gila' menulis blog. Bila diadukan kepadanya , 'takut nak tulis blog selalu, takut fitnah. huhu'
tapi lain pula balasan jawapan dari dia

' Kalau enti(ko) perasan, musim exam ni la kita banyak masa untuk diri sendiri, kita banyak berfikir. Macam-macam benda tiba-tiba datang menerjah ke dalam kepala. No wonder kalau enti (ko) banyak menulis masa study week untuk exam.'

oh oh, sangat benar la ayu .

==================


Salah satu peristiwa ajaib yang pernah aku lihat adalah menyaksikan dengan mata kepala sendiri, mendengar dengan kedua belah telinga yang sempurna tentang khabar beberapa orang manusia yang mula berhijrah , bila manusia itu sudah menemui titik perubahannya, the turning point.
bila manusia itu bertekad untuk kembali mencari jalan Dia setelah lama menghilang

hebatnya Allah!


betapa hidayah, rahmat dan kasih sayangNya benar-benar untuk hamba-hamba yang Dia kehendaki. Dia yang tentukan, Dia yang memilih siapa yang layak menerima perhatian dariNya

bila menyaksikan semua ini, aku menjadi sangat malu. Betapa aku ini bukanlah sesiapa.
aku ini hanya hamba. aku ini kerdil lagi hina.

Bila yang lain mengatakan tulisan aku menyentuh hati sesetengah orang , membasahi jiwa, betapa aku malu untuk mengaku ia adalah dari aku,

betapa yang menulis dari hati ini, betapa yang menyusun ayat-ayat ini bukanlah aku.
tetapi Allah. semua ini milik Allah

maka, dengan semua ini Dia yang punya, apakah aku masih boleh berkelakuan sombong dan bongkak? Apakah aku masih mampu untuk berbangga diri dengan sesuatu yang bukan kepunyaan aku?

atau adakah aku seperti burung kakak tua?
apakah aku termasuk dalam golongan yang beriman tetapi tidak mengerjakan apa yang aku katakan, apa yang aku tuliskan? (lihat ayat Al Qur'an di atas, di bawah perkataan From The Inside)

Astaghfirullah astaghfirullah

Terima kasih Allah, kerana tunjukkan aku.
Terima kasih Allah kerana menegur aku.
Terima kasih Allah, kerana mengajar aku nilai sebuah hidayah, nilai sebuah iman yang tiada tara nilainya


p.s: Embun Hidayah by Hijjaz

p.s lagi : rindu untuk kembali seperti dulu, ber'ana-enti' dengan mereka yang jauh. Tetapi sekarang sedang praktis untuk ber'ana-enti' dengan mereka yang dekat. rindu nak sebut perkataan 'jazakillah muallim ', 'lihat, itu syabab-syabab dari sekolah kita' , dan 'rindu sangat-sangat pada enti'

huhu, sangat rindu
Thursday, May 20, 2010

OBSES




Rasulullah s.a.w telah bersabda



"Barangsiapa akhirat menjadi obsesinya,
maka Allah melancarkan semua urusannya,
hatinya kaya, dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk.
Dan, barangsiapa dunia menjadi obsesinya,
maka Allah mengacaukan semua urusannya,
menjadikannya miskin, dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya "

(Diriwayatkan Ibnu Majah)


Barang siapa akhirat menjadi 'kegilaannya', dia sibuk kerana akhirat, maka setiap hari perjalanan hidupnya kelak, apa pun yang dia lihat, dia pasti akan menghubungkannya dengan akhirat. Dan akhirat selalu dia sebut dalam setiap hujahnya.

Ia tidak bahagia, kecuali dengan akhirat.
Tidak sedih, kecuali kerana akhirat.
Tidak redha, kecuali dengan akhirat.
Tidak marah, kecuali kerana akhirat.
Tidak bergerak, kecuali kerana akhirat
dan tidak berusaha, kecuali kerana akhirat.

Barangsiapa mencintai akhirat melebihi mencintai dunia, Allah akan mengurniakan tiga nikmat.

Ia adalah segala urusan berjalan lancar, kekayaan hati dan dunia datang kepadanya.
Dia memberikan ketiga-tiga nikmat ini kepada hamba-hambaNya yang Dia kehendaki sahaja.

Iaitu hamba-hamba yang yang menyiapkan jiwa mereka hanya kerana Allah dan tidak ada selain Dia yang masuk dalam hati mereka, baik itu berhala-berhala dunia, atau perhiasan atau pesonanya.


petikan dari Taujih Ruhiyah oleh Abdul Hamid Al-Bilali

maka tunggu apa lagi, mari sandarkan semuanya untuk kehidupan abadi di akhirat.
kita sudah tahu. cumanya belum mahu berbuat sesuatu.
sekurang-kurangnya berbuat sesuatu agar imanmu masih teguh dalam dirimu.

===================


dan aku sangat terpikat dengan hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud


"kekayaan hakiki bukan dengan harta yang melimpah,
tetapi kekayaan hakiki ialah kekayaan hati "
(Diriwayatkan Muslim)



Fathiyyah, fathiyyah. jangan marah. jangan marah.


nilaikan semuanya dengan neraca akhirat, bukan dengan neraca dunia.


Wednesday, May 19, 2010

Seperti Emrullah dan Zinnera

seperti Emrullah dan Zinnera,
yang bertemu dan bercinta kerana Dia
dan bila berpisah tidak akan berasa gelisah,

Bersatu menyimpan cita-cita dan impian yang sama,
menyusun langkah dan mengatur strategi untuk menyedarkan ummah
meniup semangat syabab yang baru dilahirkan
bagi membebaskan tanah suci dari cengkaman penjajah


=========================

Zinnera duduk di antara dua sujud, membaca tahiyat dan memberikan salam . Salah seorang anak lelakinya merengek dan datang duduk ke dalam pangkuan. Zinnera menyapu muka.
Dia sudah menangis di dalam solat. Tidak sepatutnya begitu. Dia bangun.

Di luar Masjid Nabawi, Jeneral Habib sudah menanti. Habib mendekati Zinnera.

Zinnera memeluk abangnya. Habib mengusap kepala Zinnera

"Bagaimana suami ana syahid?"

"Tanyakan bagaimana dia telah menjalani hidupnya. Subhanallah, Dia telah memilih suamimu sebagai ahli syurga"



-1511H(Kombat) oleh faisaltehrani
Tuesday, May 18, 2010

Testing 1 2 3

Testing 1 2 3




Testing photoScape :D



Bukti Cinta

Mata terbeliak terkejut sejurus bila dia memasuki rumah, menumpang untuk menggunakan bilik lalu mengatakan,

'eh, ni boikot la fathy'

'siapa kata?'

'kakak T yang kata brand ni boikot '

'alamak.....'

keesokan paginya, membuat pengumuman dan memberitahu ahli beyt, bahawa lain kali perlu lebih teliti dalam membeli barang-barang rumah seperti sabun pencuci baju, pencuci lantai, pencuci pinggan dan barang-barang lain keperluan diri.



say babai to Herbal Essences

no more Downy

say no to Tide

Dah takde dah Head & Shoulders mahupun Rejoice



Di antara barang P&G(Procter n Gamble)

Dan boleh mula mencari jalan untuk menukar brand mana yang patut. Kalau mereka orang-orang kafir itu tidak pernah berputus asa untuk menjatuhkan kita, masakan kita tak mahu berusaha sedikitpun untuk mencari jalan untuk tidak menyokong ekonomi mereka?

Seperti mereka, bila dapat tahu je tentang ini , esok harinya terus pergi farmasi untuk beli barang-barang baru.


dan aku perlu lakukan sesuatu seperti ahli beyt ku, yang pusing-pusing satu farmasi, garu-garu kepala dan akhirnya memilih salah satu botol shampoo warna cokelat dan terus ke kaunter untuk membayar.

aku tanya pada dia sambil membalik-balikkan botol tersebut 'brand apa?'

dia berkata ' Made In Brazil, kak. takdak pilihan dah '

:)



manakala aku, sampai sekarang masih memujuk diri , agar segera dan berterusan mengalihkan pandanganku dari Bodyshop. huhu. sebab ada terbaca Bodyshop juga kena boikot. Orang2 UK pun kata benda yang sama. Wallahua'lam





Dan link senarai barang perlu boikot

sini

nah, garu-garu kepala yang tidak gatal? Benar, kita bukan lagi berkuasa dalam ekonomi dunia. Mereka sedang mengawal kita, sampai satu tahap kita membeli barang mereka supaya mereka dapat membunuh saudara-saudara kita

Allah .. Allah

==========



Kau kata kau sayang saudara-saudara kau di Gaza. kau puas melaungkan bahawa kau membenci Zionis kerana menceroboh salah satu tanah suci bagi agama kau, tapi kau langsung tidak berbuat apa-apa. kau hanya tahu berkata-kata, tetapi jihad kau bukanlah sungguh-sungguh pun

jika kau cinta pada Gaza, buktikan
bukan lagi hanya lafaz di bibir, tapi buktikan dengan perbuatan engkau
Buktikan cinta kau pada mereka, pada Al Quds,
buktikan cinta kau pada Dia



Monday, May 17, 2010

Rehat



Rasulullah s.a.w yang kita kasihi, jika tertekan dengan sesuatu perkara, Baginda menunaikan solat dengan segera. Lalu merasai kerehatan, keamanan, taufiq dan ketenteraman. Baginda s.a.w sering mengatakan kepada Bilal r.a



"Arihna biha ya Bilal"

yang bermaksud

'Marilah kita berehat dengannya(dengan solat) wahai Bilal '


Sembahyang seorang mu'min diibaratkan seperti oasis(wahah) yang menjadi tempat berteduh di tengah padang pasir, kehidupan yang bahang panasnya bukan kepalang.

Ia mendapat ketenteraman di sisi Allah, berserah kepadaNya dalam setiap perkara, meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepadaNya dalam ketaatan, penyerahan dan iltizam yang sempurna pada setiap perintah tanpa teragak-agak.

Sembahyang merehatkan dan melapangkan kita dari tugasan dan bebanan kehidupan. Lantas kita berdiri di hadapan Allah dengan penuh khusyuk dan menundukkan diri, ruku' dan sujud.

Kita mendengar dan membaca kalam Allah, kita bertasbih dan membesarkan Allah, kita berdoa dan beristighfar kepadaNya.

Seolah-olah solat itu adalah Mi'raj (naik ke langit) bagi ruh.

Ia naik menemui Allah, jauh dari tarikan keduniaan dan tipu daya kehidupan.

(Mustafa Masyhur)


Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.
Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,
kecuali bagi orang-orang yang khusyu'
Al Baqarah : 45




p.s: 'jangan bersedih' dari Kauthar :)


Sunday, May 16, 2010

Terima kasih


5 sc 2
SPM 2006
Kisas, Klang
(thanks to my little sweet fiqi :) )


Sebelah kiri anda, muslimin
sebelah kanan anda, muslimat

Rumah sukan kami

Hijau = Thariq
Biru = Khalid
Kuning = Ali
Merah = Omar


dan aku, penghuni rumah Thariq yang tegar. memang tergolong dalam golongan 'belakang', sebelah budak khalid dan budak Ali
geng sekali dengan adik-adik Thariq dan Khalid :)

entri ini sepatutnya untuk muallim muallimah, cikgu-cikgu, ustaz ustazah tadika amal,
al amin, naim lilbanat, kisas
dan intec

tapi aku baru perasan, yang satu gambar mereka pun aku tak ada


Selamat hari Guru.

Andai aku boleh petik bulan dan bintang untuk dihadiahkan buat guru-guruku sekalipun, ia sudah tentu tidak akan cukup untuk membalas jasa mereka
walau apa sekalipun, Dia sahajalah yang sudah menyediakan ganjaran yang selayaknya buat mereka dan kedudukan tinggi di sisiNya

Terima kasih!
Jazakumullahukhairan Katheera

*takkan lupa ayat-ayat Mr Wong(cikgu Fizik) khas untuk aku (gara-gara cantik sangat markah fizik masa tu) *


===================
Saturday, May 15, 2010

begini rupanya

begini rupanya keadaan ia di kala exam

sunnatullah itu adalah orang-orang yang berusaha, pasti akan mendapat hasilnya

selamat berusaha
selamat study patho



Friday, May 14, 2010

Take Care



Setiap apa pun keputusan yang kita buat,

sama ada keputusan untuk jalan ke arah kiri atau kanan
sama ada keputusan untuk memilih warna putih, atau kelabu
sama ada keputusan untuk berkata ya atau tidak


tapi arah jalan yang benar, jalan ke arah Dia itu sentiasa terang dan tampak jelas. Cumanya engkau sering keliru kerana sering ditarik-tarik oleh masa silam mu dan 'bahaya-bahaya' yang engkau tidak nampak

fikir sungguh-sungguh sebelum memilih,
bukan sebab ikut orang lain, bukan sebab takut orang mengata,
tanya pada hatimu apa yang ia mahu
dan kata padanya bahawa untuk terus hidup di bawah rahmat Tuhanmu,
tiada kompromi, tiada tolak ansur
nak masuk syurga Dia, kena ikut jalan yang Dia sudah tunjuk
yang putih itu putih
yang kelabu itu tetap kelabu
yang hitam itu tetap selamanya hitam

Kalau Dia kata menyuruhmu kerjakan sesuatu perintah, maka engkau wajib buat
tidak boleh berdalih-dalih
kalau Dia kata suruh tinggal, maka engkau wajib tinggalkan dengan sepenuh jihad
tiada separuh-separuh, tiada suku-suku


take care of yourself

take care of your IMAN


Thursday, May 13, 2010

U



u = yu,






Sanah Helwah!

:D
Wednesday, May 12, 2010

RIS, Insha Allah

Nak pegi






========



Maher Zain-Insha Allah


Tuesday, May 11, 2010

ok,

ok


oral exam untuk pathology sepatutnya 26 jun, telah ditukar kepada 30 jun

dan my flight ticket to Kuala Lumpur adalah bertarikh 29 jun 2010
nak tukar tarikh tiket, aku memerlukan sejumlah wang yang agak besar (musim exam, musim berjimat cermat)

lagi, gap antara oral exam patho dan oral microb adalah sehari (microb 28 june, patho 30 june)

ok, ini betul-betul menguji ketahanan aku baik dari segi fizikal, mental dan emosi.
ini betul-betul menguji tahap iman, redha dan kesabaran

emak kata, 'fikir baik-baik, asalkan jangan miss exam'

abang nuar pula memujuk dalam wall post nya di fb 'istikharah la dulu bro'

dan Allah dengan jelas telah berfirman 'maka bersabarlah engkau (Muhammad), dengan kesabaran yang baik " (Al Maarij : 5)

moga aku tergolong dalam golongan yang Allah redha (al ankabut : 2)

p.s: pharma sudah, microb sudah. next will be parasit (13 may) n patho (16 may)

maka aku bertawakkal

Entri 11 Mei


Microbiology Practical Exam - 11 May 2010


Bila kita dah usaha kuat, rasa dah baca buku banyak dan berulang-ulang kali dan rasa yakin nak jawab exam pada keesokan harinya , maka kadang-kadang tawakkal kita dekat Allah tu macam tak banyak sangat. Sebab kita yakin Allah akan balas segala penat jerih usaha kita yang 'bagai nak rak' tu

berlainan dengan keadaan bila kita study saat-saat terakhir sebab kita sibuk dengan komitmen lain, dan kita tak banyak sangat waktu untuk study. Mungkin ada je topik yang kita tak sempat nk sentuh dan baca langsung.

Nah, waktu itu memang tawakkal tinggi melangit. Kita tak mengharap dah pada orang lain melainkan Dia yang Maha Memberi Rezeki. Kita tak bergantung kepada sesiapa dah waktu tu selain Dia.

Tapi sepatutnya bila kita yakin(confident) atau tidak, kita baca banyak atau tidak, kita study awal atau tidak, tawakkal wajib 100%. Sebab kita berserah semua usaha, doa kita kepada Allah. Dan hanya Dia yang layak menilai kita, sejak awal hingga akhir. Allah nilai niat kita sejak kita mula jejakkan kaki ke sekolah sehinggalah hari terakhir kita menghadiri kelas. Allah tak pernah terlepas pandang satu pun walau sebiji zarah

Sebab kita hanya hamba, hamba yang berlagak seperti hamba. bukan hamba yang sombong berjalan di atas muka bumi Dia
hamba yang benar-benar patuh dan taat atas segala ketentuan Dia.
hamba yang berjihad dengan jihad yang sebenar-benarnya
dan hamba yang bila dia terima sesuatu berita gembira atau sedih, dia redha time time tu jugak.

(all the best)

Show me the right path -Raihan
Monday, May 10, 2010

Tiada Puisi Indah-Indah

kata emak,
" macam ni la rupa mak yg sedang menunggu kepulangan anak2nya....:-) "

hehe


Oleh kerana emak sudah jarang update blog, maka kerja aku pagi-pagi buta selepas subuh adalah terus buka fb, klik pada fb emak dan lihat apa catatan emak untuk hari ini

Dan catatan emak sekarang, banyak tertulis nama zaim . Kerana dia sahajalah si kecil yang tinggal dengan emak. Tanpa zaim emak akan sunyi. Tanpa zaim, kurang ceria emak satu hari. Betul, Zaim lah teman dan kawan emak yang paling kamcing, paling rapat dan paling manja!

di antara status emak,


"Dipaksa berjogging keliling Taman tasik titiwangsa oleh Zaim, dia kata perut dia buncit. hmmm, baru darjah lima dah pandai kontrol macho"




"tq zaim, tolong tumbukkan lada n belacan. jadilah sambal belacan zaim yang sedaaapppp.."


Sampai bila-bila pun, aku tidak akan dapat menandingi zaim. Cemburu dengan dia tahap macam mana pun, dia tetap juara dari segi menghabiskan masa untuk bersama dengan emak. Zaim berjaya mengalahkan abang-abang dan kakak-kakaknya yang lagi enam orang.


maaf mak, tahun ni tiada puisi indah-indah
melainkan ayat ini untuk fathiyyah muhasabah


" Kami perintahkan kepada manusia
supaya berbuat baik kepada dua orang ibu bapanya,
ibunya mengandungnya dengan susah payah,
dan melahirkannya dengan susah payah (pula).
Mengandungnya sampai menyapihnya adalah tiga puluh bulan,
sehingga apabila ia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun
dia berdo'a:

"Ya Rabbku, tunjukilah aku
untuk mensyukuri ni'mat Engkau
yang telah Engkau berikan kepadaku
dan kepada ibu bapaku...."


(Al Ahqaaf:15)


p.s: tuan kecik a.k.a zaim, plz plz jangan membesar cepat sangat

p.s lagi : nasyid rancak, boleh 'tutup' hati tengah sebak (kontrol2) :D
Sunday, May 9, 2010

Sangat Gembira




Salam warahmatullah


Sangat sangat gembira untuk dia.


Rasa macam baru semalam, benda tu jadi. Saat aku terima tawaran belajar di klang, aku menangis dengan dia sebab perlu berpisah . tapi tengok-tengok esok paginya dia pun turut terima tawaran untuk belajar di tempat sama dengan aku juga .

Rasa macam baru semalam pegi ke sekolah lama dengan dia, jumpa cikgu-cikgu dan adik-adik juniors untuk beri semangat.

Rasa macam baru semalam hantar dia pegi airport setelah dia menghabiskan dua tahun di kolej persediaan. dan dia terbang ke bumi yang jauh

tengok-tengok tidak lama lagi, dia akan pulang ke tanah air , bakal membina 'rumah baru' dan menaiki satu lagi 'anak tangga' dalam hidupnya

aku sangat gembira. Sangat sangat :)

entry ini untuk kamu. kamu tahu kamu siapa dalam hatiku, bukan? :D


" Dan di antara tanda- tanda kekuasaanNya ialah
Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,
supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya,
dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda
bagi kaum yang berpikir "

(Ar Rum: 21
)

=======


Saturday, May 8, 2010

As Syura


FirmanNya dari As Syura


bila Dia mencurahkan kepadaku kasih dan sayangNya,


"Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya
dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan
mengetahui apa yang kamu kerjakan "

(42: 25)


Dan kasih sayangNya tidak pernah terbatas
rahmatNya telah menaungi hidupku
dan Dia akan memaafkanku selagi mana aku 'berlari'
mengadu meminta ampun dariNya

"Dan apa saja musibah yang menimpa kamu
maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri,
dan Allah memaafkan sebagian besar
(dari kesalahan-kesalahanmu) "

(42: 30
)


aku takut kepada orang,
lalu aku menjauhkan diriku dari dia

Tapi bila aku takut kepada Tuhanku,
aku menjadi semakin dekat dengan Dia

Hebatnya Allah
Thursday, May 6, 2010

preparation....

junior kata, "mari countdown! berapa bulan sahaja lagi akan pulang ke tanah air "

senior kata, "boleh lah mula menghitung hari, berapa minggu je lagi nak exam final ni"

mereka kata kepada dia , "tak lama dah kau nak bernikah, dah ready ke? preparation semua ok? (habis laah bila aku dah cakap pasal kawen-kawen ni )"

dan aku menjenguk ke luar tingkap, termenung sejenak sambil menghadap langit.


============

kalau nak mati, bila-bila pun boleh. tak ada countdown2, tak perlu nak tunggu dapat penyakit dahsyat2 atau merebak laju macam cancer, baru lah kita nak hitung hari bila nak mati.

kalau kita dah tahu bila kita mati, macam kita dah tahu bila kita akan balik ke pangkuan keluarga, mesti kita dah siap-siap packing awal-awal, sebab nanti kang kelam kabut, tertinggal barang itu la, ini la maka kita mesti akan lebih tenang menanti hari yang ditunggu-tunggu

kalau kita dah tahu bila kita akan mati, tarikh sekian-sekian, pukul berapa, di mana, macam kita dah tahu yang exam mula 2 minggu lagi, maka mesti akan buat preparation super duper punya. untuk menghadapi mati

kalau kita dah tahu kita mati bila macam kita tahu tarikh kita yang akan bernikah minggu depan, mesti punya kita buat persediaan sempurna yang mungkin untuk menghadap Hakim Yang Maha Agung dan bersedia mendengar hujah dari saksi-saksi di mahkamah akhirat


nak katanya, kita jarang nak prepare untuk mati. kita jarang nak menyediakan diri dengan beramal dan beramal seolah-olah kita akan mati esok.

padahal masa belajar, atau masa masak, atau masa tengah call mak, atau masa tengah menulis blog, kalau Allah kata waktu ini aku akan mati, maka malaikat maut itu tidak akan lengah dalam merenggut nyawaku.

sebab tu lah kan, orang yang paling bijak bukanlah orang yang genius yang mampu cipta software hebat-hebat
bukan juga orang yang dapat result cemerlang sejak kecik sampailah besar
bukan juga orang yang amik medik, jadi doktor
bukan juga orang yang pandai main soduku

orang yang paling bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati, bersedia dan beramal seolah-olah esok dia akan tiada lagi berjalan di atas muka bumi, menghirup udara seperti sebelumnya

orang yang paling bijak adalah orang yang dalam nafasnya, dalam deruan aliran darahnya memuji keagungan Tuhannya, seperti para malaikat yang sentiasa dan sentiasa bertasbih sambil mengelilingi arasyNya

orang yang paling bijak adalah macam tu, setiap detik dan saat, dia ingat mati.
orang yang paling bijak adalah sebegitu, setiap kali jantungnya berdegup, dia memohon ampun dari Pemilik jiwanya seolah-olah sebentar lagi, dia akan bertemu dengan Dia

Wednesday, May 5, 2010

from the inside




Bismillahirrahmanirrahim


Allah telah berfirman dalam Al Qur'an mulia yang bermaksud


"Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan:
"Tuhan kami ialah Allah"

kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka,
maka malaikat akan turun kepada mereka (dengan mengatakan):
"Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu merasa sedih;
dan bergembiralah kamu
dengan (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu"
Fussilat : 30





suatu ketika dahulu, pernah menjadi budak nerd, kaki belajar, pagi petang siang dan malam menghadap buku. buku dan buku

atau kalau bosan sangat, akan mencari padang. sama ada mencari bola, cari tiang gol, mantapkan pasukan

atau menyertai pasukan kawad, berjemur setiap petang berlatih dan berlatih untuk menyertai pertandingan, mewakili sekolah, daerah dan negeri untuk ke peringkat kebangsaan

pernah satu ketika jadi budak kaki belajar juga, yang ni lagi nerd rasanya. tak fikir benda lain dah melainkan bayang-bayang result SPM cemerlang, interview JPA dan belajar overseas, amik medic

pernah satu ketika, kaki tengok bola. penyokong kuat England, Argentina dan Jerman dalam World Cup, Euro Cup dan Chelsea dalam liga perdana inggeris dan liga juara-juara Eropah, sampai abang-abang dah
angkat-angkat kening tengok adik perempuan mereka yang kaki belajar, jarang balik rumah sebab tinggal di asrama, tiba-tiba boleh bangun 'qiyam' dulu sebelum mereka tengah-tengah pagi, bawak bantal si
ap , amik makanan dan minuman dari dapur, bukak tv dan layan perlawanan bola sepak bersama mereka.

pernah satu ketika dahulu, rajin ikut update terkini kedudukan Chelsea dalam liga, baca news,
buka website Chelsea, hafal semua nama pemain dan pengurus pasukan mereka sekali.


pernah satu ketika sangat minat Linkin Park, Blink 182, Hoobastank, Westlife dan enrique iglesias dan layan lagu-lagu mereka. sampaikan nama blog ni pun amik dari lagu linkin park 'from the inside'

===================

masa yang aku ada dahulu banyak dihabiskan macam tu. ulat buku , join sana sini, dengar lagu itu dan ini. tengok match minggu ini dan minggu depannya (aku jarang layan tengok cerita dulu)

bukannya benda-benda yang aku sertai tu langsung tak datangkan faedah (sangat mengisi masa aku senanya)
bukannya sekarang tak minat bola dah atau tak minat dah dengan kumpulan-kumpulan yang disebutkan dalam senarai di atas

cumanya sekarang aku lebih sedar tanggungjawab aku yang lebih banyak dari masa yang aku ada.
cumanya sekarang, aku perlu meninggalkan semua benda yang tidak berkaitan dan tidak bermanfaat untuk aku

seperti Rasulullah telah bersabda dalam hadith ke 12 (himpunan hadith 40)




n the authority of Abu Hurairah, radiyallahu 'anhu, who said : The Messenger of Allah, sallallahu 'alayhi wasallam, said :

"Part of the perfection of someone's Islam is his leaving alone that which does not concern him."

[Hadith hasan - Recorded by Tirmidhi]




cumanya sekarang aku lebih jelas dengan apa yang aku lakukan, betapa dalam apa jua tindakan dan perbuatan perlu disertai dengan niat yang betul dan ikhlas, dan niat tu kalau boleh nak sentiasa diperbaharui dan diperbanyakkan.

cumanya sekarang aku rasa umur aku yang nak dekat 21 tahun ni, entah banyak mana amal aku dalam buku catatan tu . Atau kalau banyak sekalipun, entah banyak mana yang sudah diterimaNya, supaya ia valid untuk aku dapat tiket masuk syurga, disambut oleh penjaga syurga yang sangat taat dan bertemu dengan Pencipta aku.

dan bila menginjak usia yang semakin dewasa, nak masuk 21 tahun dengan amalan yang tak seberapa dan entah berapa tahun lagi aku akan hidup di atas bumi milikNya,
maka sudah tentu aku mahu berubah.

Tika orang lain aku lihat mereka sudah bergerak untuk berhijrah menjadi orang yang baru,
aku juga tidak mahu ketinggalan.
Berubah dan berhijrah kepada yang lebih baik.
Pilihan dan jalan sudah dibentangkan luas di depan mata, dan tinggal mahu pilih saja.

Dan kita sudah tahu kita yang dahulu itu entah apa-apa sikit perangainya, lalu kenapa kita masih rasa sayang atau lengah-lengah lagi untuk menjadi orang yang baru?

langsung tak nak jadi manusia yang lengah
langsung tak nak tergolong dalam golongan yang melampaui batas dan menzalimi dirinya
langsung tak nak termasuk dalam orang-orang yang diceritakan oleh Allah dalam Al Qur'an betapa mereka menyesal kerana tidak beramal sepanjang mereka hidup di dunia.

Sungguh, sebagaimana aku benci untuk dicampak ke dalam api, begitu jugalah aku benci untuk kembali menjadi aku yang dahulu

fathiyyah berjiwa baru, RUHUL JADID

p/s: blog from the inside oleh fathiyyah, sudah nak masuk 3 tahun usianya
 

Template by Web Hosting Reviews